Skip to main
Logo Malaysiakini

Elly Mazlein rancang 5 majlis akhiri zaman janda

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bakal menamatkan status janda tidak lama lagi, penyanyi dan pelakon Elly Mazlein merancang untuk mengadakan lima majlis untuk meraikan hari bahagianya.

Kata Elly, ia termasuk majlis merisik, bertunang, malam berinai, majlis pernikahan dan sambut menantu.

Keputusan itu dibuat hasil perbincangan dengan keluarga, dengan acara merisik akan diadakan dalam masa terdekat, katanya.

“Saya tiada masalah memenuhi permintaan bakal suami dan keluarganya. Memandangkan teman lelaki masih bujang, jadi keluarga mencadangkan supaya majlis kami berjalan mengikut adat.

“Saya terharu kerana teman lelaki dan keluarganya bersungguh-sungguh mahu menghantar cincin merisik, sebelum kami bertunang.

"Segala perincian mengenai hari bahagia kami hanya akan dikongsi pada sidang media khas selepas kami bertunang,” katanya dipetik BH Online hari ini.

Elly atau nama penuhnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 39, bagaimanapun enggan mengesahkan spekulasi dia dan teman lelakinya bakal disatukan Februari depan.

“Siapa yang kata Februari? Tunggu sidang media kami nanti. Bukan mahu berahsia dengan media, tetapi saya akan memaklumkan kepada semua apabila tiba masanya nanti.

“Majlis pertunangan pula hanya akan dibuat selepas selesai komitmen saya bersama Anugerah Bintang Popular BH 32 (pada hujung bulan ini)," katanya lagi.

Elly berkata dia bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan di saat "mahu mendirikan masjid" dan sudah pun memulakan persiapan menjelang hari bersejarah itu.

Sebelum ini penyanyi yang terkenal dengan lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu berkata dia mengenali teman lelakinya yang merupakan seorang guru dari Kelantan sekitar Ogos tahun lalu.

Jika semuanya berjalan lancar, ia bakal menjadi perkahwinan kedua buat Elly.

Dia sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pengarah drama Azmi Hatta pada 9 November 2014, namun berpisah pada 15 Oktober 2015.

Melalui perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Putri Sara Sefhia, yang kini berusia tiga tahun.