M for Malaysia mahu kenang ‘kesabaran’ bertahun
M for Malaysia diusahakan memandangkan jarang ada perubahan kerajaan yang berlaku dengan aman seperti dilalui sewaktu pilihan raya umum ke-14 (PRU14) tahun lalu, kata penerbit filem itu Marina Mahathir.
Akvitis sosial dan anak Mahathir itu berkata M for Malaysia menelusuri bagaimana gelombang kuasa rakyat mampu menolak BN yang memerintah selama 61 tahun.
“M for Malaysia untuk mengingatkan rakyat Malaysia apa kita pernah lakukan berkat dengan usaha dan kesabaran yang memakan masa bertahun-tahun.
“Perubahan tak akan berlaku sekiranya rakyat tak mahukan ia dan ambil tindakan seperti yang berlaku tahun lalu.
“Hal ini bermula selepas terdapat segelintir orang yang tak takut untuk memulakan perubahan.
“Dan jarang sekali dalam dunia ada negara bertukar kerajaan secara aman dan demokrasi,” katanya ketika ditemui selepas majlis pratonton M for Malaysia di Kuala Lumpur semalam.
Tahun 1998 dianggap sebagai kebangkitan baru gerakan pembangkang. Ironisnya pada masa itu ia meletus sebagai protes kepada pentadbiran Mahathir.
M for Malaysia akan ditayangkan untuk empat hari di 37 pawagam terplilih di seluruh negara bermula 12 September ini.
Menariknya filem dokumentari itu diarahkan oleh cucu Mahathir sendiri Ineza Roussille, yang juga anak Marina, bersama seorang lagi sutradara Dian Lee.
M for Malaysia pernah menerima sambutan menggalakkan selepas tayangan perdana di Festival Center for Asian American Media di San Francisso dan Festival Documentary Edge di New Zealand.
Pada Oktober ia akan ditayangkan di di festival filem terbesar Asia iaitu Festival Filem Antarabangsa Busan di Korea Selatan.
M for Malaysia berkisahkan pembentukan kerajaan di luar jangka oleh pihak pembangkang dan kemenangan julung kali dikecapi mereka dalam usaha mengatasi dan menangani gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Sementara itu, Marina, 62, berkata M for Malaysia sesuai diketengahkan pada waktu ini terutama apabila pasca PRU14 menjadi medan polemik perkauman dan agama.
“Itu yang buat saya nak ketengahkan dokumentari ini terutama apabila ada isu polemik perkauman seperti sekarang dan timbul banyak rungutan berhubung sesuatu perkara.
“Saya juga sedih sebab isu perkauman dan agama semakin berleluasa, kita yang jadi mangsa apabila ada orang cucuk-cucuk,” katanya.
Dalam filem itu, penonton diberikan akses secara eksklusif pada peristiwa bersejarah apabila seorang lelaki berusia 93 tahun bergelar perdana menteri kali kedua.
Pada 9 Mei lalu, pentas politik negara menyaksikan satu sejarah baru dicipta parti gabungan PH yang diketuai Dr Mahathir dalam PRU14 apabila ia memperoleh kemenangan di 113 kerusi parlimen.
Ditanya sama ada dokumentari berkenaan melibatkan konflik kepentingan kerana kedudukan bapanya, Marina berkata, dia bersikap terbuka dan berlapang dada.
“Mereka boleh nak kata apa saja, hasrat kami yang utama ialah nak rekod saat bersejarah dan akhirnya terhasillah dokumentari ini,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai