Sasterawan negara - Ada tak apa, tak ada pun tak apa
ULASAN | Isu Sasterawan Negara bukan kisah gali lubang tikus. Tidak juga suara Osman Tikus.
Sasterawan negara tiba-tiba dilihat penting selepas adanya ganjaran bulanan RM5,000 sedangkan kepentingan anugerah berkenaan kepada masyarakat dilihat seperti tidak penting.
Sejak dekad 1980-an, sasterawan berada jauh di belakang. Kecuali beberapa anak muda yang ghairah membaca sajak di bawah lampu Pasar Budaya dan di tepi Tasik Perdana atau Tasik Titiwangsa, sastera semakin jauh di belakang sektor korporat dan politik.
Memang benar Anugerah Sastera Negara banyak diperkatakan pada dekad 1980-an terutama selepas A Samad Said menjadi penerimanya pada 1985, namun ketika itu suara sastera sudah mula terhakis kerana ledakan politik wang dan korporat.
Ketika itu menjadi orang politik lebih baik daripada sasterawan kerana ada kaitan dengan sektor korporat. Dasar penswastaan negara menjadikan sektor ekonomi lebih penting.
Hubungan kapitalis dan politikus meletakkan acara budaya, bahasa dan kesusasteraan tercabar berbanding dekad sebelumnya.
Era 1960-an atau sebelumnya lebih memihak kepada sastera dan kesusasteraan. Polemik Seni Untuk Masyarakat atau Seni Untuk Seni menjadi perdebatan awam.
Ada tempat tersendiri
Dekad 1940-an dan 1950-an sasterawan seperti Kajai, Pak Sako dan A Samad Ismail dianggap penting.
Mereka penulis, wartawan dan nasionalis. Cita-cita kebangsaan dan kemerdekaan menjadikan sasterawan amat istimewa.
Selepas mereka individu bernama A Samad Said dan Usman Awang mempunyai jati diri yang kuat. Mereka idola masyarakat. Mereka disenangi ramai dan bukan orang sastera pun kenal dua susuk yang hebat itu.
Walaupun dekad 1980-an adalah era politik dan dasar penswastaan yang memberi ruang kepada korporat menjarah kekayaan negara, Samad Said dan Usman Awang berada di tempat tersendiri.
Samad Said mogok seni, masyarakat mendengar suara beliau. Usman Awang bersuara tentang pohon beringin yang ditebang secara berleluasa di ibu kota, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mendengar suara beliau.
Sasterawan negara selepas mereka berdua seperti tidak wujud lagi. Ada pun tak apa. Tak ada pun tak apa. Kerana sastera hanya hak eksklusif golongan sasterawan tetapi semakin jauh daripada masyarakat.
Yang heboh tentang Sasterawan negara terbaru ini ialah kerana mereka mahu kecoh dan mahu perhatian. Mereka tuduh panel tak telus. Mereka tuduh ada campur tangan politik. Mereka tuduh Dewan Bahasa dan Pustaka dah jadi alat kepada menteri untuk pilih Siti Zainon Ismail dan cicirkan nama lain "yang lebih layak".
Ada juga yang kata Dinsman lebih layak, tetapi tunggu perdana menteri kelapan yang kononnya rapat dengan tokoh teater itu.
Semuanya adalah suara politik kerana era Malaysia Baru sekarang semua isu boleh ditularkan selepas PH memberi ruang kebebasan bersuara. Yang mengambil kesempatan ialah sesetengah sasterawan dan pimpinan penulis pro-PAS dan Umno.
Mereka bersuara kerana kerajaan sekarang tidak lagi memberi peruntukan kepada kegiatan penulisan berbanding dahulu.
Ketika era BN banyak persatuan penulis mendapat dana kerajaan untuk kegiatan mereka. Di kawasan terpencil aktiviti sastera digiatkan oleh badan belia yang dinaungi Umno. Selepas BN kecundang, aktiviti penulisan tergugat kerana sumber kewangan terbatas.
Sejak awal tahun
Persatuan penulis menuduh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, seorang anti-Melayu dan tidak menyalurkan dana untuk kegiatan sastera nasional.
Isu ini dipolitikkan sejak tahun lalu dan ramai kalangan sasterawan yang selama ini mewah menerima tajaan BN tidak lagi mampu aktif seperti dahulu.
Apabila timbul polemik sasterawan negara, ia menjadi api daripada bara yang sudah beberapa bulan wujud dalam sekam. Harus diakui Siti Zainon memang layak. Beberapa calon lain juga layak menerima Sasterawan Negara. Namun takdir dan rezeki seseorang adalah di bawah kekuasaan Allah.
Polemik muncul kerana ramai yang tidak memahami konsep qada dan qadar.
Sebelum pengumuman Sasterawan Negara pun memang sudah diduga kontroversi akan berlaku. Saya tulis dua rencana di Berita Harian tentang Sasterawan Negara yang bakal dipertikaikan.
Saya juga tulis di Facebook tentang polemik yang bakal tercetus kerana kebebasan di media baru kurang memperhitungkan rasional membabitkan pelbagai isu.
Sejak awal tahun isu sasterawan negara sudah dipolitikkan. Ada yang tuduh PH akan pilih penulis yang sealiran dengan Malaysia Baru. Ada yang dakwa Dinsman dan Faisal Tehrani akan dipilih kerana kecenderungan mereka.
Isu yang tidak berasas apabila disebut banyak kali akan dianggap benar, maka ramailah penulis yang tular dan menuduh panel tidak telus. Kewibawaan mereka dipertikai.
Dari situlah timbul isu gali lubang tikus sedangkan asas sebenarnya masih misteri.
Lebih aneh apabila tarikh pengumuman Sasterawan Negara Ke-14 ditangguhkan berkali-kali.
Pada awalnya dijangka diumumkan 26 April lalu tetapi entah kenapa tangguh kepada Julai, kemudian ditangguh lagi.
Keadaan ini tidak sepatut berlaku. Payah sangatkah mengumumkan nama seseorang daripada sekian ramai calon ada? Apa misteri dan apa yang luar biasa?
Penangguhan juga membuatkan ramai yang naik darah walaupun masyarakat sekarang semakin tidak mempedulikan acara sastera berbanding sorak-sorai yang lain.
Mengeluh apabila tak dipedulikan
Sebelum Siti Zainon, seramai 13 Sasterawan Negara sudah terpilih iaitu Keris Mas (1981), Shahnon Ahmad (1982), Usman Awang (1983), A Samad Said (1985), Arena Wati (1987), Dr Muhammad Haji Salleh (1991), Noordin Hassan (1993), Abdullah Hussain (1996), Dr S Othman Kelantan (2003), Dr Anwar Ridhwan (2009), Kemala (2011), Baha Zain (2013) dan Zurinah Hassan (2015).
Mereka adalah nama besar dalam kesusasteraan tanah air dan wajar mendapat penghargaan yang tinggi. Beberapa Sasterawan Negara sudah dipelawa sebagai sasterawan jemputan di universiti awam termasuk Samad di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).
Muhammad pula di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala Universiti Malaysia Perlis (Unimap) menjemput Zurinah.
Jemputan berkenaan membuktikan pusat pengajian tinggi awam mengiktiraf peranan dan sumbangan sasterawan negara ketika karya sastera tempatan semakin tercabar dan terhakis oleh ledakan teknologi maklumat yang memberi kesan terhadap industri penerbitan buku ketika ini.
Bagaimanapun adakah memadai Malaysia memilih sasterawan negara yang baru sedangkan 13 nama yang ada tidak dimanfaatkan sepenuhnya sebagai aset negara.
Memberi anugerah bukan bermakna mereka dihargai sepenuhnya kerana pemikiran, idea dan gagasan sasterawan negara tidak pernah dianggap sebagai penting ketika pemerintah melaksanakan agenda pembangunan negara sejak dahulu.
Samad pernah mengeluh sebelum ini apabila nasib sasterawan negara tidak dipedulikan sepenuhnya. Banyak buku sasterawan negara yang terabai penerbitan dan sasaran untuk meluaskan pengedaran karya sering bergelut dengan pelbagai halangan.
Samad akhirnya menerbitkan sendiri karya besar beliau dengan pelbagai risiko yang sukar diduga.
Keluhan yang hampir sama pernah disuarakan oleh Usman hampir dua dekad lalu. Beliau mengeluh sasterawan negara tidak ada apa-apa selain gelaran tanpa pengiktirafan negara.
Usman barangkali lebih beruntung berbanding sasterawan negara yang lain kerana diberi tugasan penting di sebuah institusi perbankan terkemuka bagi memanusiakan perkhidmatan.
Memang diakui kehidupan moden digerakkan oleh kuasa politik dan korporat. Di belakang mereka adalah teknokrat dan pentadbir yang dedikasi.
Negara pada era moden dibentuk dan dibangunkan oleh iltizam kuasa dan profesional pelbagai bidang. Politik, kuasa dan perkiraan kewangan membantu pembentukan projek pembangunan dan prasarana terbaik.
Di sini berlaku kelompongan apabila negara lebih melihat kepada fizikal sedangkan pembangunan kerohanian dan pemikiran kurang diutamakan.
Gagasan yang terdapat dalam karya besar seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Saudagar Besar Dari Kuala Lumpur, Hujan Pagi dan Salam Benua hampir tidak dipedulikan. Sastera tidak dilihat penting sedangkan dalam masyarakat Melayu tradisional sastera rakyat adalah cetusan nurani dan menjadi lambang intelektualisme bangsa.
Peranan penglipur lara, dalang wayang kulit atau tok selampit bukan sekadar penghibur, tetapi juga pencerita dan pengkritik sosial yang penting.
Mereka berhubung secara langsung dengan masyarakat, mendidik dan mengkritik. Kritikan sosial disuarakan secara halus melalui cerita rakyat dan jenaka. Pantun, gurindam dan syair membawa istana dan rakyat bersatu dalam keakraban tradisi sosial yang unik.
Hari ini masyarakat kurang perhatikan sastera. Kerajaan juga lebih utamakan pembangunan fizikal. Sasterawan negara - ada tak apa, tak ada pun tak apa!
IMLAN ADABI ialah sasterawan dan bekas wartawan Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai