Skip to main
Logo Malaysiakini

Yuna lebar sayap dengan label terkemuka dunia

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tidak hanya bergelar artis antarabangsa, penyanyi Yuna mengumumkan dia sudah bernaung di bawah agensi bakat terkenal antarabangsa iaitu Wilhelmina Models.

Pemilik nama penuh Yunalis Zarai berkongsi berita gembira tersebut bersama peminatnya di laman Instagram pada Isnin.

“Hello dunia, ini berita yang saya ingin kongsikan. Penyanyi kamu ini sudah jadi artis bawah Wilhelmina Models.

“Siapa sangka ia berlaku, kita berjaya mak!" kata Yuna.

Wilhelmina Models merupakan salah satu agensi bakat dan model terkemuka di dunia yang berpangkalan di New York, AS.

Nama-nama besar turut bernaung di bawah syarikat tersebut ialah Shawn Mendes, Nicki Minaj dan penerbit muzik, Kygo.

Perkembangan penyanyi Terukir di Bintang itu mendapat perhatian rakan selebriti yang berbangga dengan pencapaiannya.

Antaranya, usahawan Vivy Yusof dan Dr Nur Amalina Bakri yang meluahkan perasaan teruja dengan berita tersebut.

Tidak ketinggalan, penyanyi Indonesia, Anggun yang turut mengucapkan tahniah.

“Tahniah, awak (Yuna) memang hebat, jadi ni bukan satu kejutan,” katanya menerusi ruang komen di hantaran Yuna.

Untuk rekod, Yuna sebelum ini pernah menjadi artis rakaman Verve Music Group di bawah penerbit dan komposer terkenal, David Foster.