Skip to main
Logo Malaysiakini

Ada rakan Maya dari negara jiran terkejut KL berjerebu

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kedatangan dua rakan Maya Karin dari Indonesia mungkin boleh menggambarkan sedikit sebanyak bagaimana isu jerebu ditanggap di sana.

Menurut Maya, dua rakannya itu berasa hairan apabila melihat Kuala Lumpur diselimuti jerebu ketika ini.

Maya berkata, rakannya itu tiba di negara ini tiga hari lalu.

"Dua kawan saya dari Jakarta boleh tanya: kenapa cuaca di Kuala Lumpur sangat jerebu?" katanya kepada Malaysiakini.

Enggan menuduh atau menganggap yang bukan-bukan, Maya, 39, berkata kemungkinan masalah jerebu kurang diutarakan atau dibincangkan secara menyeluruh di negara jiran itu.

"Mungkin ada di antara mereka tak tahu kita dilanda jerebu sampai ribuan sekolah terpaksa ditutup," katanya.

Terdahulu, pelakon Ombak Rindu itu menciap melalui akaun Twitter miliknya berkenaan krisis jerebu yang disifatkannya mengundang kemarahan ramai.

Ciapan Maya itu ditandakan dengan nama Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi.

"Hi orang Indonesia. @jokowi Anda membenarkan kebakaran hutan setiap tahun.

"Memberikan jerebu setiap tahun kepada Malaysia dan Singapura sampai tak boleh bernafas.

"Apakah penyelesaiannya? Perlukah kita benarkan ketamakan menang?" katanya.

 

Melalui siri ciapan lain kemudiannya, Maya berkata, dia tidak melihat mana-mana menteri agresif membantah secara terbuka perbuatan membakar hutan dan ladang pertanian di Indonesia yang menjadi pencetus jerebu.

Semakan Malaysiakini setakat malam tadi mendapati kenyataan itu menerima lebih 28,000 ulang kicau dan 20,000 tanda suka.

Mengulas ciapan tersebut, Maya berkata, bukan niatnya sengaja mahu memprovokasi mana-mana pihak sebaliknya ingin bersama-sama mencari jalan penyelesaian.

"Saya luahkan kekecewaan dan saya tulis tweet tu sewaktu tengah geram. Tak sangka pula ramai orang berkongsi kegeraman saya.

"Sebab jerebu ni juga dah tak keluar rumah hingga tiga hari, sakit kepala migrain dan badan lemah," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai usaha Perdana Menteri Tun Dr Mahathir cuba membantu memulihkan keadaan di Indonesia tetapi ditolak, Maya mengakui dia sebenarnya amat sedih dengan situasi yang berlaku.

Katanya, sepatutnya sesebuah negara yang melakukan pembakaran secara besar-besaran mereka wajar mengambil kira kerugian dari sektor pelancongan yang ditanggung .

"Banyak kerugian, mereka perlu fikir hal ni sedangkan sektor pelancongan beri banyak faedah pada negara," katanya.