Skip to main
Logo Malaysiakini

Search tanpa Yazit umpama jasad tanpa sebelah tangan

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pemain bass kumpulan Search, Nasir Daud, tidak dapat menahan perasaan sebak hingga menumpahkan air mata apabila mengenangkan band itu tanpa Yazit Ahmad yang meninggal dunia pagi tadi.

Mengakui banyak kenangan yang dilakar bersama-sama sejak awal 1980-an, kata Nasir, Search tanpa Yazit umpama badan tanpa sebelah tangan.

"Banyak kenangan manis dari awal Search, antaranya sewaktu kami perlu berjuang untuk hidup ketika tiada kemudahan mencukupi pada waktu tu.

“Kami berkongsi banyak perkara seperti makanan, tempat tinggal dan kaset radio untuk didengar bagi mencari ilham lagu.

"Sebab tu, apabila arwah pergi, saya hilang sparring partner kerana bass dan dram berhubungan rapat.

"Saya betul-betul tak boleh apabila kumpulan Search tak lagi cukup anggotanya," kata Nasir ketika ditemui di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, di Taman Melati, Kuala Lumpur hari ini.

Sambil menyeka air mata, Nasir juga mengaku dia terkilan kerana vokalis mereka, Amy, tidak dapat hadir bersama untuk memberi penghormatan terakhir kepada Yazit atas sebab tidak dapat dielakkan.

Tali persaudaraan tak putus

Yazit yang juga antara pengasas kumpulan Search itu menghembuskan nafas terakhirnya akibat serangan jantung pada jam 11.53 pagi tadi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Allahyarham dimasukkan ke wad kecemasan HKL awal pagi kelmarin selepas mengadu sesak nafas kepada isterinya, Ramlah Ahmad.

Sebaik tiba di hospital, jantungnya terhenti dan diberi bantuan pernafasan.

Jenazah Yazit disembahyangkan selepas Zohor dan dikebumikan kira-kira jam 4 petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur selepas hujan reda.


Baca Yazit terharu dikunjungi 'pendekar politik'


Di sebalik pelbagai kenangan manis bersama Yazit, Nasir mengakui, ada juga pengalaman tertentu yang boleh dijadikan pengajaran.

Menurutnya, meskipun kumpulan itu pernah dilanda kemelut sejak penganjuran konsert ulang tahun ke-30 Search, ikatan tali persaudaraan yang dicipta sekian lama dengan Yazit tidak diputuskan begitu saja.

"Kami tak pernah tinggalkan atau isytihar dia bukan lagi anggota Search mahupun memecatnya. Kami masih lagi menggunakan foto yang diambil berempat.

"Cuma kami anggap dia tak dapat menyumbang tenaga kerana corak permainan lagu Search heavy dan perlu guna tenaga maksimum. Itu mengekang dia untuk sertai persembahan kami," katanya.

Ditanya mengenai perancangan band itu selepas ketiadaan Yazit, Nasir berkata, anggota yang tinggal akan berkongsi hasil diraih dalam mana-mana kemunculan Search dengan waris arwah.

"Sebelum Yazit meninggal dunia, kami ada berkongsi dan telah pun sampaikan hak dia. Cuma kami tak perlu bercerita hal itu kepada umum kerana ia masalah dalaman kumpulan," katanya.

Sementara itu, Amy melalui kenyataan media yang diedarkan hari ini turut menyampaikan salam takziah atas pemergian Yazit.

Penyanyi lagu Kau Pergi itu memohon maaf kerana tidak dapat menghadiri majlis pengebumian Yazit kerana terikat dengan pekerjaannya sebagai pengulas di program Golden Memories Asia untuk siaran Indosiar di Jakarta.

"Saya meminta maaf kerana masih perlu melunaskan tanggungjawab sebagai komentator bagi Golden Memories Asia yang masih akan bersiaran langsung malam ni.

"Sekali lagi salam takziah buat seluruh keluarga Yazit. Semoga tabah menghadapi pemergiannya," kata Amy lagi.

Awie, M Nasir, Man Bai, Jojet dan Joe termasuk serta dua lagi anggota Search, iaitu pemain gitar irama, Nordin Mohd Taib, dan pemain gitar utama, Hamzah Mohd Taib, antara rakan seperjuangan yang memberikan penghormatan terakhir hari ini.

Kira-kira 300 keluarga, kenalan dan peminat mengiringi perjalanan terakhir allahyarham sebelum disemadikan.