Skip to main
Logo Malaysiakini

Kurus sebab jaga anak bukan hisap dadah - Akim

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Penyanyi utama kumpulan Akim and The Majistret, Akim Ahmad menafikan dakwaan warganet yang dia menggunakan dadah sehingga kelihatan lebih kurus berbanding sebelum ini.

Dia memberitahu kelihatan sedikit kurus disebabkan komitmen terhadap keluarga kecilnya dan juga kariernya.

“Benda itu sebenarnya buat saya rasa sakit hati jugalah. Saya kurus sebab jaga anak dan fokus kepada anak,” katanya dalam nada mengeluh.

Eshaal, anak perempuannya bersama Stacy kini berumur kira-kira tiga tahun. Pasangan artis itu turut menjaga seorang anak angkatnya Bella.

“Kita bangun lewat malam sebab nak fikirkan lagu, nak fikirkan plan apa semua.

“Lepas itu nak bangun pagi nak melayan anak-anak.

“Jadi benda-benda macam ini secara tak langsung buat fizikal saya drop,” katanya bercakap kepada pemberita dalam sidang media majlis pelancaran Mentor Milenia di Petaling Jaya semalam.

 Akim juga menegaskan tidak melakukan perkara terkutuk itu.

Lebih-lebih lagi memandangkan statusnya yang sudah berkeluarga dan sedar akan kepentingan untuk menjaga aib isteri dan anak-anaknya.

“Kadang-kadang makan pun terlepas sebab suapkan anak-anak dan akhirnya mereka yang jadi gemuk,” katanya dalam nada bergurau.

Mengulas mengenai tanggapan masyarakat yang selalu mengaitkan artis dengan gejala pengambilan dadah, dia memberitahu perkara tersebut tidak boleh dielakkan kerana ia sudah berlaku sejak dulu lagi.

“Mungkin sebab dulu kita pun sedia maklum, rockers saja rambut panjang mesti ambil dadah. Sampai ada kes kena potong rambut,” katanya.

Dia turut memberitahu mungkin dia disalah anggap menggunakan dadah kerana caranya mempersembahkan muzik di atas pentas.

Jelasnya lagi, cara persembahan kumpulannya adalah sekadar untuk menghiburkan peminat-peminat mereka kerana rasa bertanggungjawab untuk memberikan hiburan yang diperlukan mereka dan bukannya dipengaruhi dadah.

“Tak ada isu pasal dadah ke apa. Tak semestinya nak main muzik kena ada dadah,” jelasnya.

Dia pada masa sama menggesa agar masyarakat mengubah persepsi mereka yang selalu beranggapan penggunaan dadah merupakan satu benda yang normal dan perlu menolak perkara itu daripada terus mencemari industri muzik tanah air.

Persepsi negatif masyarakat yang menganggap artis menggunakan dadah telah lama berlaku di Malaysia.

View this post on Instagram

#teamputih @teh_songket

A post shared by Akim Ahmad (@akimahmad) on

Malah pada tahun 1990, kerajaan pernah mengharamkan penampilan rambut panjang dalam kalangan artis terutamanya ‘rockers’ kerana mengganggap ia mendorong kepada gejala negatif dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Antara artis yang pernah dipotong rambut oleh pihak kerajaan pada ketika itu adalah dua legenda rock tanah air, Awie (kumpulan Wings) dan juga Amy (Search).

Dalam satu temu bual bersama Utusan pada 2013, Awie memberitahu dia terpaksa melakukan perkara itu demi membuktikan bahawa artis rock tidaklah sejahat yang disangka.

Sisipan hiburan Mingguan Malaysia pada 8 November 1992 juga menunjukkan kedua-dua mereka yang dipotong rambut oleh menteri penerangan ketika itu, allahyarham Mohamed Rahmat secara langsung di RTM menangis dan berpelukan selepas acara tersebut.