Skip to main
Logo Malaysiakini

Belanjawan: RM1.1 bilion untuk pelancongan, seni dan budaya

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kerajaan memperuntukkan RM1.1 bilion kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) sebagai usaha menyokong penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020).

Semasa membentangkan Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, VMY2020 bertujuan menjenamakan Malaysia sebagai destinasi utama pelancongan dengan sasaran 30 juta pelancong.

“Daripada jumlah itu, RM90 juta dikhaskan untuk meningkatkan kesedaran, promosi dan program sempena kempen VMY2020.

“Kerajaan juga akan meneruskan pemberian 50 peratus hasil cukai pelancongan kepada setiap kerajaan negeri untuk menyokong usaha mereka bersempena dengan VMY2020,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Untuk rekod, pameran seni lukis, Road To Bienalle melalui Balai Seni Negara antara program dirancang dalam VMY2020 yang menyasarkan kedatangan 30 juta pelancong.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebahagian besar daripada levi pelepasan yang dikenakan kepada penumpang yang ke luar negara menggunakan pengangkutan udara mulai 1 September 2019 akan diperuntukkan kepada projek infrastruktur pelancongan.

Menurut Lim, untuk meningkatkan manfaat ekonomi VMY2020, kerajaan akan mencadangkan insentif cukai yang disasarkan ke atas sektor kesenian dan pelancongan seperti berikut:

“Pertama, pengecualian cukai pendapatan kepada penganjur aktiviti kesenian dan kebudayaan serta pertandingan sukan dan rekreasi bertaraf antarabangsa yang diluluskan dan penganjur persidangan.

“Kedua, pelaburan baru bagi taman tema antarabangsa diberikan pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100 peratus daripada pendapatan berkanun atau Elaun Cukai Pelaburan sebanyak 100 peratus ditolak sehingga 70 peratus untuk 5 tahun.

“Ketiga, meningkatkan potongan cukai yang diberi kepada syarikat yang menaja aktiviti kesenian, kebudayaan dan warisan di Malaysia daripada RM700,000 sehingga RM1 juta setahun,” katanya.

Meningkatkan perlindungan sosial

Lim berkata, seiring dengan persekitaran kerja yang sering berubah, mekanisme perlindungan sosial pekerja juga harus ditambah baik.

Katanya, KWSP akan memperluaskan perlindungan kepada pekerja kontrak di bawah kontrak untuk perkhidmatan (contract for service) dan Profesional.

“Sebagai permulaan, skim ini akan dijalankan secara sukarela bagi pekerja dalam industri seni dan hiburan melalui kerjasama antara KWSP dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) sebelum diperluaskan kepada sektor lain,” katanya.

Membina Aplikasi Digital

Lim berkata, kandungan digital boleh menjana nilai ekonomi, misalnya, pendapatan industri permainan video dunia melebihi AS$150 bilion pada masa ini adalah lebih tinggi berbanding gabungan hasil industri muzik dan filem.

“Kerajaan akan memperuntukkan RM20 juta kepada Malaysia Digital Knowledge Economy Corporation (MDEC) untuk memupuk jaguh tempatan dalam menghasilkan kandungan digital khususnya dalam bidang yang sedang berkembang pesat seperti e-Permainan, animasi dan seni digital,” katanya.