Skip to main
Logo Malaysiakini

Pameran seni teroka identiti kaum India di Malaysia

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bagaimana perasaannya menjadi seorang India di Malaysia?

Persoalan inilah yang diteroka dalam sebuah pameran seni ‘Banana Leaf: A Celebration of Malaysian Indian Arts & Culture’ yang menampilkan seniman dari kaum India.

Menurut kurator Ruby Subramaniam, pameran yang berlangsung sehingga esok (Ahad 19/10) di GMBB Mall, Kuala Lumpur ini merupakan usaha seniman berkenaan mencipta ruang untuk diri mereka di negara ini.

“Seseorang akan rasa dirinya kecil apabila digelar minoriti. Melalui pameran ini, kami (seniman kaum India) mencari ruang untuk berasa selesa di tanah air kami.

“Pameran ini merungkai persoalan identiti budaya dan hubungannya dengan konsep kenegaraan dan masyarakat,” kata Ruby.

Menurut Ruby, inspirasi untuk mengadakan pameran khas itu tercetus dua tahun lalu.

Ia memakan masa yang lama untuk direalisasikan kerana mereka perlu melakukan banyak penyelidikan untuk mengembangkan konsep tersebut.

Antaranya, mereka bermula dengan cuba mendalami dan memahami konsep di sebalik sebuah elemen seni penting dalam budaya India, iaitu seni kolam.

Ruby Subramaniam, kurator ‘Banana Leaf: A Celebration of Malaysian Indian Arts & Culture’.

‘Skeleton of Empire’

Bukan seni kolam sahaja yang dipamerkan. Pameran tersebut juga mengetengahkan seni pemasangan (installation art), fotografi dan lukisan.

“Bagi saya, adalah penting untuk perbincangan ini (mengenai identiti kaum India) berlaku melalui pelbagai format yang kreatif.

"Seniman yang dipilih (untuk pameran ini) mampu menggabungkan unsur-unsur budaya dan elemen penting dalam amalan Hindu, sambil membincangkan isu-isu penting zaman kita," kata Ruby.

Salah satu faktor penting dalam persoalan identiti dalam komuniti India Malaysia ialah penghijrahan ke Tanah Melayu ketika penjajahan British.

Jurugambar, Mogan Selvakannu (gambar di bawah), meneroka persoalan ini dalam koleksinya, ‘Skeleton of Empire’.

“Gambar-gambar ini menunjukkan tiga generasi pada masa itu. Koleksi gambar pertama menunjukkan keadaan kami yang lalu, kedua, keadaan kini, dan seterusnya, keadaan pada masa akan datang,” kata Mogan, 37, yang berasal dari Seremban.

Koleksi gambar Mogan Selvakannu yang memaparkan kehidupan tiga generasi kaum India di Malaysia.

Tema identiti juga dibawa melalui lukisan oleh pelajar sekolah yang mengambil bahagian dalam bengkel oleh Goodkids.

Goodkids merupakan sebuah perusahaan sosial yang menggunakan seni persembahan untuk membina keyakinan diri di kalangan kanak-kanak.

“Kanak-kanak tersebut diminta untuk membuat refleksi kendiri berkenaan identiti mereka dan meluahkannya melalui lukisan.”

“Menariknya, bagi kanak-kanak yang tidak boleh melukis, mereka mampu menyampaikannya dengan cara yang lain” kata Ruby.

Seni menggunakan teknik percikan oleh kanak-kanak dari bengkel seni Goodkids.

‘Daripada tidak kekal ke kekal'

Seni kolam juga diberi olahan baru.

Secara tradisinya, kolam adalah lukisan yang dihasilkan menggunakan tepung beras, di atas lantai rumah, kuil dan perniagaan.

Tetapi, dalam pameran ini, kolam mengambil bentuk sulaman yang dipaparkan di dinding.

Senimannya, Mala, berkata dia memilih kolam kerana tradisi ini semakin pudar di kalangan komuniti India.

“Saya cuba menyesuaikan sesuatu yang tradisional ke dalam kehidupan moden. (Dari) sesuatu yang tidak kekal, ke sesuatu yang kekal; seni sulaman ini melambangkan kepentingan kolam dalam dunia hari ini,” katanya. 

Mala, bersama dengan seni tradisi kolam olahannya.

Ruby berharap lebih ramai anak muda, terutamanya kanak-kanak sekolah, akan melawat pameran tersebut dan mendapatkan pendedahan kepada pelbagai jenis bentuk seni.

Beliau juga berharap pameran yang menggunakan pelbagai jenis seni dapat membuka ruang untuk lebih kerjasama antara industri berbeza.

“Saya harap ini adalah titik permulaan untuk lebih banyak projek seni yang menarik pada masa akan datang,” katanya.