Skip to main
Logo Malaysiakini

Aishah Azman serik mudah beri percaya

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Dugaan berat dilalui sewaktu fasa pascaputus tunang banyak mengajar Aishah Azman agar bersikap peduli terhadap hati budi mana-mana lelaki yang ingin mendampinginya selepas ini.

Aktres itu berkata, kontroversi menghimpitnya sebelum ini menyebabkan dia tidak lagi mahu mengambil keputusan terburu-buru terutama apabila membabitkan masa depan bersama lelaki yang bernama suami.

“Pengalaman itu banyak beri pengajaran buat saya. Sejak tu saya selalu ingatkan diri untuk tak mudah percayakan seseorang hanya berdasarkan sikap luarannya.

“Saya tak wajar buat keputusan terlalu cepat untuk bertunang dan menerima seseorang dalam hidup,” katanya.

Aishah, 23, ditemui pada majlis pengumuman drama terbaru lakonannya, Suri Katriana di sebuah restoran di Kuala Lumpur semalam.

Suri Katriana terbitan Astro Prima berkisahkan pergolakan dan cabaran hidup yang perlu ditempuhi seorang gadis bernama Suri yang meminati seni tari, lakonan Ernie Zakri.

Bakal bersiaran pada 30 Oktober ini, Suri Katriana turut dijayakan antaranya, pelakon Nazim Othman, Zul Huzaimy, Nadiya Neesa, Rozita Che Wan, dan Hasnul Rahmat.

Aishah mengikat tali pertunangan dengan pelakon Syafie Naswip pada 7 April lalu dan mereka sepatutnya melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini.

Namun ikatan dibina selama tiga bulan itu terlerai susulan beberapa masalah dalaman, antaranya membabitkan kes ugutan dan mendatangkan kecederaan berlaku pada 26 Jun lalu.

Tak pandai menari Minang

Mengulas lanjut, pemilik nama penuh Nor Aishah Afika Azman Shah itu berkata, dia sebelum ini memang mudah memberikan kepercayaan kepada orang lain sehingga tanpa disangka memakan diri sendiri.

“Mungkin saya melihat seseorang itu melayan dengan baik dan mudah percaya.

“Sepatutnya tak perlu pandang semua tu tapi kena kenal betul-betul dulu terutama menyiasat cara kehidupannya,” katanya.

Namun, adik aktor Afiq Muiz itu berkata, dia mengambil sisi positif daripada setiap perkara yang berlaku dan beranggapan ia pengalaman yang mematangkan.

“Saya bersyukur dan lega dengan apa berlaku. Semestinya selepas ni saya akan lebih berhati-hati. Harap akan jadi lebih baik tahun akan datang,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Suri Katriana, Aishah berkata, drama itu banyak memberi cabaran kerana skrip menuntutnya untuk menari tarian tradisional.

“Pertama kali bergandingan dengan semua pelakon dalam drama tu. Saya juga tak pandai menari Minang, tapi nasib baik ada guru yang mengajar,” katanya.