Skip to main
Logo Malaysiakini

Weinstein disaman kerana dituduh cuba tutup mulut pelakon

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Aktres Rose McGowan memfailkan tindakan undang-undang ke atas Harvey Weinstein, bekas peguam penerbit filem terkenal itu serta sebuah agensi perisikan persendirian atas tuduhan cuba menutup mulutnya.

Aktres itu adalah seorang daripada orang terawal mengaku menjadi mangsa nafsu serakah Weinstein dan membuat pendedahan itu pada 2017.

Weinstein dan pasukannya didakwa berkomplot untuk mencemarkan nama Rose selepas mereka mendapati dia menulis buku pada 2016 yang memuatkan perincian maklumat berkenaan dakwaan serangan seksual itu.

Weinstein dan pasukannya juga didakwa cuba memastikan buku tersebut tidak diterbitkan.

Dalam tuntutannya, Rose menyasarkan Weinstein, peguam David Boies dan Lisa Bloom serta firma perisikan persendirian, Black Cube.

Rose mendakwa Weinstein mengupah Black Cube untuk mendapatkan maklumat berkenaan buku tersebut dengan menyamar sebagai peguam yang membela hak wanita.

Penyata tuntutan itu menyebut, kes terbabit adalah berkaitan pakatan jahat dan usaha haram seorang lelaki Amerika paling berkuasa dan wakilnya untuk mendiamkan mangsa serangan seksual.

Ia juga dikaitkan dengan keberanian wanita dan wartawan yang cekal untuk mendedahkan kebenaran.

Tauke filem itu kini sedang menunggu perbicaraan atas pelbagai dakwaan berkaitan serangan seksual dan mengaku tidak bersalah melakukan seks tanpa rela.

Rose mendakwa dia dirogol Weinstein dalam sebuah bilik hotel sewaktu mesyuarat perniagaan di Festival Filem Sundance 1997.

Sementara itu, peguam Lisa memberitahu tiada bukti sahih berhubung dakwaan Rose terhadap anak guamnya.

“Kami menantikan hari perbicaraan bagi membetulkan perkara ini,” katanya.

Peguam Weinstein pula memberitahu dakwaan Rose sebagai “tidak berasas.”

Buku Rose berjudul Brave diterbitkan tahun lalu dan ia menceritakan mengenai serangan terbabit dan bagaimana Weinstein ‘meracun’ industri filem dan televisyen.