Skip to main
Logo Malaysiakini

Bulu roma Ifan Seventeen merinding dengar siren ambulans

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Meskipun sudah hampir setahun sejak dilanda pengalaman ngeri dibadai tsunami, vokalis Seventeen, Ifan, mendedahkan sehingga kini dia masih berasa ngeri setiap kali terdengar bunyi siren ambulans.

Kata Ifan, kalau dia terdengar bunyi tersebut - misalnya secara kebetulan ada ambulans sedang lalu di jalan raya - bulu romanya akan merinding secara automatik.

"Itu adalah reaksi badan yang saya tak boleh kawal kerana semasa kejadian tsunami dulu, boleh dikatakan setiap lima saat saya akan terdengar bunyi siren ambulans," katanya seperti dipetik media tempatan Indonesia.

Tsunami pada 22 Dis tahun lalu memang memberi kesan mendalam buat Ifan apabila isterinya, Dylan Sahara; serta lima yang dekat dengannya terkorban.

Mereka ialah pemain bass Seventeen, Muhammad Awal Purbani; pemain gitar, Herman Sikumbang; pemain dram, Wisnu Andi Darmawan; pengurus kumpulan itu, Oki Wijaya; serta seorang kru, Rukmana Rustam.

Dylan Sahara juga merupakan seorang aktres.

Badai menerpa sewaktu Seventeen sedang membuat persembahan di pesisir Pantai Tanjung Lesung Baten, Indonesia.

Akan selalu ada, hidup

Bagaimanapun, Ifan atau nama penuhnya Riefan Fajarsyah terselamat dalam bencana tersebut.

Kata Ifan, 36, dia juga tidak dapat melupakan kenangan dilalui bersama-sama tiga anggota Seventeen ketika hayat mereka.

Ifan mengaku, selain itu, kenangan bersama Dylan juga sering menjelma terutama ketika dia mengunjungi tempat yang banyak menimbulkan kenangan.

“Dengan Dylan, misalnya, kalau berjalan-jalan… eh ni biasa makan dengan Dylan. Kadang-kala timbul kenangan seperti itu,” katanya.


Baca Iktibar band Seventeen korban tsunami - Dusuki


Pada masa sama Ifan mengakui dia cuba melupakan kenangan tersebut namun sukar walaupun dicuba sedaya-upaya.

Sementara itu, kata Ifan, biarpun dia menjadi satu-satunya anggota Seventeen yang masih hidup, tiada keputusan dibuat untuk membubarkan kumpulan berkenaan.

“Seventeen akan selalu dikenang bersama-sama karya-karyanya. Tidak akan ada cerita Seventeen bubar dan sebagainya.

“Seventeen akan selalu ada dan hidup di hati saya dan orang yang meminati mereka,” katanya.