Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Lantik Yusri KRU sebagai ikon TVET bukan kerana populariti’

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pelantikan selebriti Yusri Abdul Halim yang juga anggota kumpulan KRU sebagai ikon pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dapat menarik penyertaan anak muda.

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat), berkata pemilihan Yusri adalah berdasarkan kepada pencapaiannya dalam industri hiburan yang berkait rapat dengan TVET.

"Pemilihan (Yusri) sebagai ikon dibuat bukan berdasarkan populariti, tetapi pencapaian beliau dalam bidang seni baik di dalam dan luar negara untuk menarik minat orang muda.

"Pengalaman dan kreativiti beliau dapat digunakan untuk menunjukkan keberkesanan TVET.

"Disebabkan beliau (Yusri) kita dapat menarik ramai anak muda menyertai program TVET," katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum itu, Mastura Mohd Yazid (BN- Kuala Kangsar) meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan apakah peranan utama yang dimainkan oleh ikon TVET kementerian itu dalam aspek pembangunan TVET dan bagaimanakah kemahiran dan pengalaman yang ada pada beliau dalam bidang seni dapat memartabatkan pendidikan teknikal dan latihan vokasional negara.

Dalam soalan tambahannya, Mastura turut menyambut baik pemilihan Yusri sebagai ikon TVET dan menyarankan lebih ramai lagi ikon dalam bidang TVET turut dilantik bagi menarik minat dan penyertaan anak muda.

Sementara itu M Kulasegaran berkata, kementerian itu juga yakin Yusri dapat memberi sumbangan dan idea baru dalam bidang TVET untuk menarik anak muda.

Katanya, penting bukan saja dapat menarik sokongan anak muda, tetapi memberi kesedaran kepada ibu bapa tentang kepentingan TVET.