Memang bukan Datuk Red saja pujaan di hati Adira
Penyanyi Adira Suhaimi mengaku, suaminya Adnan Abu bukanlah satu-satunya insan yang menjadi pujaan hatinya ketika ini.
Adira berkata, terdapat tiga insan lain yang sedang bertakhta di hati dan mereka tidak akan terlepas daripada pandangannya walau sesaat sekalipun jodohnya dengan Adnan tidak berpanjangan.
“Bukan dia saja, ada tiga lagi pujaan dalam hati saya. Mereka ialah anak-anak,” katanya.
Adira ditemui pada majlis pengumuman peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik 34 di Bangsar, Kuala Lumpur semalam.
Penyanyi Pujaan Hati itu berkata demikian selepas diasak pelbagai soalan berkaitan kemelut yang sedang melanda rumah tangganya.
Adnan - seorang ahli perniagaan - menikahi Adira di Songkhla, Thailand sebagai isteri keduanya pada 3 Dis 2015.
Pada 1 April lalu pemilik nama penuh Siti Adira Suhaimi itu dilaporkan memfailkan perceraian pada 1 April lalu namun permohonan tersebut dibantah Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red.
Beri mesej nasihat
Hasil perkongsian hidup mereka, Adira, 28, dan Adnan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Anggrek, Asan dan Anggun.
Sekalipun berdepan isu perceraian, Adira mengakui peluang dapat berada dekat dengan ketiga-tiga anaknya membantu dia menenangkan emosinya pada kebanyakan masa.
Justeru, seandainya ditakdirkan berpisah, Adira berkata, dia akan sedaya-upaya untuk mempertahankan hak penjagaan anak-anak.
“Saya tak pernah tinggalkan anak-anak walau untuk satu malam sekalipun. Lagipun, saya beranak bukan nak beri pada orang.
“Namun, saya tak akan halang bapanya untuk berjumpa dengan anak-anaknya. Dia (Adnan) boleh datang melawat ke rumah,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai respons peminat, Adira berkata, segelintir pengikutnya ada memberi nasihat berhubung perceraian melalui mesej langsung di Instagram.
Bagaimanapun, kata Adira, dia tidak mahu terlalu memikirkan soal itu kerana enggan emosinya terjejas.
“Peminat menyokong apa saja keputusan saya, namun, ada juga yang secara peribadi memberi mesej untuk menasihati.
“Cuma saya enggan ambil kisah kerana tak nak angin berubah jadi tak baik,” katanya yang bertegas dengan keputusannya sebelum ini untuk memfailkan perceraian.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai