Hati Heliza disentuh adab penghibur jalanan
Sikap bantu-membantu seperti yang ditunjukkan Rasulullah SAW jelas dipraktikkan kalangan peserta pertandingan Ekspresi Muzik Jalanan Rahmah baru-baru ini menyentuh hati Nur Heliza Helmi.
Kata penyanyi merangkap juri pertandingan tersebut, meskipun bertanding sesama sendiri untuk merebut gelaran juara, peserta program berkenaan tidak lokek menghulurkan bantuan kepada mana-mana pesaing yang memerlukan.
“Masha-Allah... hati saya tersentuh melihat akhlak peserta yang sanggup tolong band lain, hulurkan bantuan kepada mereka yang tak mempunyai instrumen muzik lengkap.
“Sikap mereka jadi asbab (sebab) yang menyentuh perasaan saya kerana peserta-peserta ni bukan semata-mata nak menang pertandingan.
“Bagi saya, sikap mencontohi amalan Rasulullah tu adalah bonus diperolehi pada mereka masuk pertandingan begini,” katanya.
Program Ekspresi Muzik Jalanan Rahmah yang diadakan di pekarangan Masjid Jamek Kuala Lumpur kelmarin diadakan untuk meningkatkan cakna masyarakat - melalui penghibur jalanan - terhadap penggunaan bahasa Melayu berkonsep Islamik, dan sempena Maulidur Rasul.
Pertandingan tersebut anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, melalui pengurusan Masjid Jamek, Kuala Lumpur serta Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur.
Tarik minat orang ramai
Selain Heliza, turut menjadi juri ialah Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Dr Hazami Jahari.
Pertandingan berkenaan dijuarai oleh kumpulan Music Sound Rhapsody (MSR) yang membawa pulang wang sebanyak RM3,000. Naib juara pula jatuh kepada kumpulan Islah & Thy People, mereka membawa pulang RM2,000 manakala kumpulan Ikatan di tempat ketiga dengan wang dimenangi RM1,000.
Persembahan terbaik dimenangi kumpulan From The Street (RM500) manakala peserta yang tidak tersenarai di tiga tempat teratas masing-masing tetap membawa pulang wang sagu hati (RM200).
Menurut Heliza, usaha DBP mewujudkan platform sebegitu mampu menarik lebih ramai generasi muda untuk memartabatkan bahasa Melayu kerana syarat pertandingan ialah menggunakan bahasa kebangsaan sepenuhnya.
“Bila kita tanya hadirin lagu versi bahasa mana mereka suka, ramai yang menjawab adalah yang dari luar negara.
“Justeru, wujudnya platform seperti ni boleh menambah kecintaan pada bahasa Melayu. Ia juga satu usaha murni yang boleh menarik minat bukan saja dalam kalangan belia tapi dewasa,” katanya.
Sementara itu, vokalis MSR, Adzrin Adzhar, 34, berkata harapan mereka yang utama ialah untuk menjadi band yang mampu membawa manfaat kepada umum.
“Kami nak rakam lagu yang membuatkan kami menang hari ni, juga berharap dapat menyumbang sesuatu yang baik kepada semua orang.
“Kami berasal dari band indie, jika ada rezeki dan ditawarkan dari mana-mana pihak, kami akan terima untuk jadi pemuzik arus utama.
“Tapi untuk berdakwah tidak semesti perlu perlu berada di aliran arus perdana semata-mata,” katanya.
Selain Adzrin, band berkenaan turut dianggotai Muhamad Shukur, 31, sebagai pemain gitar utama, Ridzuan Effendy, 33, (bass); Ahmad Fandi, 33, (gitar); Megar Nor Ezzany, 19, (cajon); dan Mohd Hafiedz, 35, (genderang).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai