Skip to main
Logo Malaysiakini

Penubuhan badan kawal selia mampu rancakkan industri muzik

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Industri muzik tempatan dijangka kembali rancak sekiranya cadangan penubuhan sebuah badan kawal selia bagi melindungi kepentingan penggiat industri dapat direalisasikan.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez berkata artis pada masa ini dibelenggu pelbagai masalah, antaranya kerana syarikat rakaman tidak lagi berani mengambil risiko menerbitkan album, ditambah dengan isu cetak rompak.

“Karyawan juga kekurangan kerja, peluang untuk bakat baru tersekat, selain tidak ada syarikat yang berani melabur dalam penganjuran konsert kecuali untuk penggiat seni yang benar-benar popular sahaja,” katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur, hari ini.

Katanya, dengan adanya badan yang mengawal selia industri itu, penguatkuasaan peraturan dapat dijalankan lebih berkesan, sekali gus mengatasi masalah artis yang teraniaya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika menghadiri sesi dialog awam bersama penggiat seni muzik tempatan di Putrajaya semalam dilaporkan berkata, kerajaan akan mengkaji cadangan penubuhan sebuah badan khas bagi mengawal selia industri seni muzik negara, seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk industri perfileman.

Fernandez turut berharap badan tersebut tidak hanya tertumpu kepada penggiat muzik pop, tetapi perlu membabitkan keseluruhan seni muzik termasuk tradisional dan klasik.

Komposer terkenal, Azhar Abu Bakar atau Azmeer pula berkata penubuhan badan seumpama itu mampu melindungi karya tempatan daripada digunakan sewenang-wenangnya oleh syarikat luar, tanpa memberi bayaran (royalti) kepada pemuzik asal.

Katanya, selain membantu membela nasib pemuzik tempatan, badan tersebut diharap bertindak sebagai badan penapisan yang mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam memastikan tidak berlaku kesilapan dalam berkarya, dalam kalangan generasi baru penggiat muzik.

“Generasi muda terutamanya yang berkarya secara ‘home studio’ mungkin tidak tahu mereka boleh terlibat dengan risiko disaman, kerana kesilapan-kesilapan seperti pengubahsuaian lirik atau rap di dalam lagu, atau menghasilkan lirik yang tidak sesuai mengikut budaya tempatan,” katanya.

Penyanyi, Adila Idris pula berharap badan kawal selia berkenaan dapat dipimpin individu yang berkaliber dan mengetahui keperluan penggiat seni muzik.

- Bernama