Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak nak berharap bimbang nanti terluka, kata adik Yazit

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Menyedari tiada wang boleh disandarkan sebagai imbuhan, penganjur tidak meletakkan harapan tinggi untuk melihat kemunculan semua anggota Search hadir pada Showcase 11 Hours Live & Loud - Sang Gendang Dalam Kenangan pada 6 dan 7 Disember ini.

Adik Allahyarham Yazit Ahmad, Zahid, berkata pihaknya membuka ruang kepada rakan bekas pemain dram Search itu untuk menyumbangkan persembahan secara percuma pada konsert yang menampilkan kira-kira 200 artis dan pemuzik terkenal tanah air itu.

Kata Zahid, persembahan berkenaan diadakan sebagai tanda kasih dan hormat mereka terhadap Yazit yang banyak berjasa dalam industri muzik tempatan, selain menyalurkan sebahagian kutipan kepada keluarga arwah.

“Rancangan ni sebenarnya dibuat ketika arwah masih hidup. Pada awalnya juga, kami rancang untuk dibuat di kawasan kecil saja, cuma di kelab," katanya.

Pada masa sama Zahid memberitahu dia berasa segan untuk meminta pertolongan daripada pemuzik lain untuk menjayakan persembahan tersebut.

Namun katanya pihak yang berkenaan sentiasa dialu-alukan untk membantu sebagai sahabat.

“Saya cuma tawarkan peluang, tak berani minta lebih daripada itu, sebab saya tak nak berharap, tak nak nanti terluka (kecewa),” katanya.

Bukan kenal sehari dua

Menurut Zahid, dia juga enggan mendesak Search dengan pertanyaan berkenaan showcase kerana tidak mahu mencuri masa mereka.

Zahid ditemui pada sidang media pengumuman Showcase 11 Hours Live & Loud - Sang Gendang Dalam Kenangan di Palm Spring Sports Centre, Petaling Jaya semalam.

Showcase berkenaan dijangka menampilkan kira-kira 200 artis dan pemuzik terkenal tanah air. Antaranya Gersang & Friends, Candy, Hattan, Hujan, Aris Ariwatan, Jay Jay, Kugiran Masdo, Deja Voodoo Spells, dan Pretty Ugly.

Ditanya sama ada jemputan rasmi sudah diberikan kepada Search untuk mengajak mereka hadir, Zahid berkata, dia sebenarnya tidak menyimpan nombor setiap anggota kumpulan rock itu.

Dia juga memaklumkan, setakat ini dua anggota Search - iaitu Kid dan Din - bersetuju untuk menyertai showcase yang mendapat kerjasama Sound Out Loud serta Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur itu.

“Saya tidak rapat dengan anggota Search yang lain. Saya cuma mengenali Kid dan Din saja sejak kecil. Jadi, jemputan disampaikan dari mulut ke mulut oleh rakan yang mengenali mereka,” katanya.

Selain Yazit, Kid dan Din, turut menganggotai Search ialah Amy selaku vokalis dan Nasir (bass).

Untuk rekod, Yazit meninggal dunia pada 26 Sept lalu selepas menghidap pelbagai komplikasi penyakit kronik yang dideritainya selama bertahun-tahun.

Sementara itu, anak bongsu Yazit, Shafiqa Nurlis, juga menyatakan harapannya untuk melihat semua anggota Search hadir biarpun sekadar untuk memberi sokongan moral.

Katanya, walau apa pun kemelut pernah pernah melanda Yazit dan Search, hubungannya dengan mereka tidak terjejas.

“Saya dengan mereka bukan baru kenal sehari dua, tapi kenal sejak lahir.

"Saya dah anggap mereka macam bapa sendiri, penting dan dah macam keluarga. Saya harapkan mereka datang dan beri sokongan,” katanya.

Persembahan itu akan berlangsung di Panggung Anniversary, Kuala Lumpur. Pengunjung tidak dikenakan tiket khusus, sebaliknya mereka perlu menyumbang sekurang-kurang RM40 untuk menyaksikan persembahan tersebut. Ia boleh dilakukan melalui laman web www.ticketapps.com.my.