Bintang K-pop dipenjara 6 tahun kerana rogol, kongsi klip atas ranjang
Mahkamah Pusat Seoul, Korea Selatan, hari ini menjatuhkan hukuman enam tahun penjara ke atas bintang K-pop, Jung Joon-young, atas dakwaan memperkosa seorang wanita dan mengedarkan klip rakaman video seks terbabit.
Jung, 30, ditahan Mac lalu.
Seorang lagi yang disabitkan kesalahan - dan turut dijatuhkan hukuman penjara lima tahun - ialah anggota kumpulan FT Island, Choi Jong-hoon.
Choi, juga berusia 30 tahun, didakwa atas kesalahan merogol wanita sama.
Menurut pertuduhan, kedua-dua defendan menyertai kumpulan aplikasi sembang yang berkongsi klip adegan seks dirakam secara rahsia dan menjadikan perbuatan memberi dadah dan merogol wanita sebagai bahan jenaka.
Sabitan ke atas Jung juga termasuk pengedaran secara haram klip-klip video lain yang diambil tanpa pengetahuan sewaktu mengadakan hubungan seks dengan mangsa.
Reuters melaporkan, identiti mangsa dirahsiakan bagi melindungi privasi mereka.
Hakim Kang Seong-soo memutuskan hukuman berat tidak dapat dielakkan ekoran mangsa belum pulih daripada kesan yang berlaku dan menuntut hukuman berat.
Didakwa tawarkan pelacur
“Defendan adalah selebriti popular dalam kalangan rakan industri, tapi dalam perbualan itu menunjukkan mereka sewenang-wenang menganggap wanita sebagai objek memuaskan nafsu dan melakukan jenayah,” katanya.
Mahkamah juga menjatuhkan setiap tertuduh hingga 80 jam pendidikan bagi "rawatan keganasan seksual."
Jung mengaku mengedarkan video dan lain-lain yang diambil walaupun dia mendakwa hubungan seks dilakukan dengan izin mangsa.
Bagaimanapun, Choi menafikan dia memperkosa wanita terbabit dan mendakwa dia tidak ingat mengadakan hubungan seks dengan mangsa. Malah, katanya, jika benar dia mengadakan hubungan seks, ia dilakukan dengan izin.
Peguam Jung dan Choi tidak dapat dihubungi untuk penjelasan lanjut.
Kes membabitkan selebriti berkenaan cuma satu daripada beberapa skandal membabitkan jenayah seksual dan aktiviti haram lain yang mendedahkan sisi gelap industri ketika fenomena K-pop menjadi kegilaan ramai.
Seorang lagi bintang K-pop terkenal, Lee Seung-hyun atau dikenali sebagai Seungri yang menganggotai kumpulan Big Bang, sedang berdepan perbicaraan atas dakwaan menawarkan pelacur kepada ahli perniagaan luar negara sebagai habuan untuk melabur dalam perniagaannya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai