Skip to main
Logo Malaysiakini

Parlimen Kerengga

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

[Sebuah fiksyen, tiada kena mengena dengan yang hidup atau pun mati. - penulis]


CERPEN SATIRA | Parlimen Kerengga ini terletak di atas sebuah busut yang tinggi dikelilingi oleh belukar dara yang menghijau.

Parlimen Kerengga ini satu institusi yang penting bagi negara Kerenggasia yang mengamalkan sistem demokrasi doktrin pemisahan kuasa yang ditiru hampir bulat-bulat dari sistem Westminstersia yang berumur lebih 800 tahun di negara atas angin Inggerisia.

Dalam Parlimen Kerenggasia ada sebanyak 222 buah tempat bertenggek si kerengga MP yang menjadi wakil makhluk kerengga sewaktu parlimen bersidang. MP itu adalah panggilan wakil makhluk kerengga. Selalunya ada title YB di hadapan nama busut kawasan parlimen yang diwakili oleh kerengga itu.

Dari 222 tempat bertenggek itu, yang dipanggil kerusi, dapat dikenal pasti MP wakil kerajaan yang berkuasa dan MP dari parti politik pembangkang - yang tidak ada kuasa, yang akhir-akhir ini amat taksub menjalankan tugas kepembangkangan.

Ada juga MP kerengga yang berstatus bebas dalam Parlimen Kerenggasia itu. Ada kalanya mereka menganggap diri mereka friendly kepada parti pemerintah yang berkuasa. Ada kalanya tidak friendly.

Parlimen Kerenggasia memang unik dan berwarna warni. MP parti pemerintah sama ada di blok eksekutif atau di blok backbenchers yang legislatif memakai pakaian dari kulit pokok terap yang berwarna merah.

MP kerengga dari blok utama pembangkang memakai pakaian dari kulit kayu mahang yang berwarna biru pekat macam warna nila. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga bagi parti politik ketuanan kerengga berpakaian biru tua pekat itu. Lebih 60 tahun kerengga biru tua pekat itu berkuasa tetapi mereka kalah dalam pilihan raya umum negara Kerenggasia pada tahun lalu. Kerajaan Kerenggasia di Putrapaya terlepas ke tangan kerenggasia warna merah bunga raya.

Di Parlimen Kerenggasia itu terdapat juga MP kerengga yang memakai pakaian berwarna hijau yang dibuat dari daun pisang. Kerengga warna hijau ini tidak sampai dua dozen. Kini mereka bergabung dengan kerengga biru tua pekat untuk menentang kerajaan kerengga merah.

Gabungan mereka diberi nama Rewang Kebangsaan. Kerengga biru tua pekat pada masa pilihan raya umum ada MP seramai lebih empat dozen. Kini sudah hilang hampir separuh wakil kerengganya kerana banyak yang sudah melompat ke busut merah parti yang memerintah, setengah untuk mengejar rezeki manisan madu, setengahnya untuk jaga kepentingan rakyat kerengga di busut masing-masing. Setengah yang lain dengarnya ada kes dengan agensi seperam yang sedang mengejar tengkuk toraks kerengga berkenaan.

Kerengga bebas sama ada yang friendly atau tidak friendly dengan kerajaan kerengga merah yang berkuasa tidak ada warna yang khusus, ada yang kelabu, ada yang warna indigo dan ada yang kuning. Jadi Parlimen negara Kerenggasia ini berwarna macam-macam seperti warna pelangi.

Parti politik Kerengga Merah yang memerintah ini ada 4+1 parti yang bergabung menjadi lima dalam satu seperti kopi siap sedia dalam paket yang diminum makhluk manusia.

Ada kerengga berpakaian warna biru muda berjalur dua merah dengan logo mata. Ada memakai warna putih dengan logo roket angkasa. Ada yang berwarna jingga dengan logo mata panah, ada yang berwarna merah lada cili dengan logo bunga raya. Ada dari busut jauh di seberang laut dari busut di bawah bayu yang pakaiannya berwarna ungu. Tetapi di dalam Parlimen semua wakil kerengga dari lima buah parti itu memakai warna merah bunga raya. Lima buah parti kerengga tersebut menamakan diri mereka Rewang Harapan yang kini berdepan dengan kebangsaan.

Keadaan hari ini di Negara Kerenggasia ini bergolak sangat hebat. Di Parlimen Kerenggasia lebihlah dahsyat, panas dan tegang macam dalam pressure cooker. Ada MP yang rebah ketika sedang berbahas di parlimen. Timbalan menteri pun ada yang rebah. Begitulah dahsyatnya.

Baru-baru ini di satu busut jauh di selatan Negeri Johara dalam negara Kerenggasia di satu busut tanjung di tanah hujung benua Asia Piai berlakulah satu pilihan raya kecil yang amat besar maknanya kepada makhluk kerengga seluruh alam.

Dalam pilihan raya kecil itu parti Kerengga Merah Rewang Harapan telah kalah teruk. Nyaris tak hilang deposit. Malu besar Kerengga Merah. Maka berlakulah tuding-menuding jari. Macam-macam kerengga dari busut menara gading mengeluarkan pelbagai analisis itu dan ini. Mereka ini intelektual universiti kerengga yang menganalisis secara bertenggek di atas kerusi atau meja di kampus masing-masing. Ada yang anggap pilihan raya kecil itu macam satu referendum. Lalu terdengarlah jeritan dari dalam busut-busut supaya Mamak Bendahara Menteri Perdana Kerajaan Kerengga Merah supaya meletakkan jawatan. Aduhai kasihannya.

Putrapaya yang menjadi busut Kerajaan Pusat Negara Kerenggasia berada dalam keadaan panas menggelegak apabila mendapat tahu rakyat menolak Kerajaan Kerengga Merah dalam pilihan raya kecil di Busut Tanjung Asia Piai. Kerajaan Pusat Kerengga Merah ini amat sensitif dan amat marah jika dikritik sebagai kerajaan sepenggal. Marah punya marah sehingga ternaik belalai atau antena di hujung hidung kerengga-kerengga merah itu.

Putrapaya ini satu busut moden yang bertaraf bandaraya smart-city yang moden lalu diangkat menjadi sebuah wilayah persekutuan bagi segala busut-busut. Putrapaya menjadi pusat segala pusat kerajaan kerenggasia. Putrapaya berada kira-kira 70 hasta dari busut parlimen yang terletak di kota kosmopolitan Keelsia yang dihubungi oleh Lebuh Raya Tali Rupia Mexsia.

Kecoh Parlimen Kerenggasia pagi ini. Kenapa? Kerana tersebar secara tular di Internet Gogelsia bahawa satu pertemuan makan-makan 22 orang wakil kerengga bertaraf YB MP di rumah rasmi di Putrapaya, iaitu di busut kediaman rasmi Menteri Rezeki dari parti kulit terap warna biru muda dengan dua jalur merah dengan lambang mata di tengah-tengah.

Menteri Rezeki ini adalah seekor Menteri Kanan Kerajaan Kerenggasia yang menjaga balang-balang kaca yang penuh dengan madu lebah dan juga madu kelulut. Dia dikatakan juga sebagai menteri yang diberi kepercayaan oleh Sang Mamak Bendahara hampir dua tahun lalu telah berjaya menyelamatkan negara Kerenggasia dari wabak malapetaka sejenis virus pembawa maut bernama kleptokrasia.Walau parti Bungaraya pimpinannya minoriti hanya menang 13 kerusi sahaja di 13 busut seluruh negara, tetapi YB Langlangwi ini diberi penghormatan jadi Mamak Bendahara Menteri Perdana yang statusnya hanyalah interim ataupun sementara sahaja.

Dilaporkan oleh kerengga-kerengga paparizi dari beberapa portal Internet Gogelsia bahawa kerengga-kerengga 22 ekor yang datang makan-makan di busut kediaman rasmi Menteri Rezeki datang dari dua parti politik kerengga yang bermusuhan secara teori terang. Tujuh belas ekor kerengga biru tua pekat dan lima ekor kerengga merah dari mazhab biru muda dengan lambang mata di tengah-tengah diapit oleh dua jalur merah tegak. Lima ekor kerengga biru muda ini mendakwa mereka mewakili parti reformis.

Pada pagi tadi setengah jam sebelum pukul 10, dua ekor kerengga backbebchers kedua-duanya dari parti biru muda berjalur tegak merah, seekor jantan dan seekor srikandi bertemu di dalam Dewan Parlimen yang masih kosong. Yang jantan menyergah yang srikandi." Betulkah engkau malam tadi pergi mesyuarat makan-makan di Busut kediaman rasmi Menteri Rezeki di Putrapaya?"

"Mesyuarat apa?" tanya balik si kerengga srikandi. Di dalam Parlimen Kerenggasia, perkataan betina tidak boleh digunakan kerana perkataan itu dianggap unparliamentary dan sexy.

"Engkau tak bacakah nama engkau ada dalam senarai 22 ekor MP Kerengga di Busut kediaman rasmi Menteri Rezeki, malam semalam?"

Kerengga jantan biru muda dengan jalur merah tegak yang diketahui umum tak sebulu dengan Menteri Rezeki walau mereka dari parti politik kerengga yang sama berslogan reformasi, segera mengklik komputer di atas meja tempat dia bertenggek. Laman sesawang KerenggasiaKini dilayari.

"Nah tengok di sini gambar engkau ada. Lihat di sebelahnya, senarai 22 ekor kerengga yang pergi mesyuarat makan- makan, nama engkau pun ada. Engkau mahu nafikan?" sergah kerengga jantan itu lagi.

"Ini fitnah," jerit kerengga srikandi dari parti kulit terap warna biru muda, mata di tengah dan dua jalur merah tegak di kiri kanan.

"Aku bersumpah, aku tidak ke Putrapaya malam tadi. Aku langsung tidak terlibat dengan mesyuarat makan-makan pintu belakang semacam itu. Aku ini bersih dari busut bersih," tegas kerengga betina itu mempertahankan maruah dirinya dan NGO yang diwakilinya selama ini, sebelum dia memasuki dunia politik sarkas kerengga yang kadang-kadang layaknya semacam sarkas makhluk binatang singa yang karnivorous dan kanibalisme sifatnya itu.

Kemudian lalu seekor kerengga jantan biru tua pekat yang totok pegangannya dengan dasar ketuanan kerengga darah biru pekat yang tebal dengan bajunya dari kulit kayu mahang yang ada cop neraca dengan dua timba yang kelihatan berkarat dan senget sebelah.

" Hei bro!" sapa kerengga jantan biru muda.

"Apa cerita malam semalam di busut rasmi kediaman rasmi Menteri Rezeki di Putrapaya?"

Kerengga jantan biru tua pekat itu kemalu-maluan apabila rahsia dia ke busut kediaman rasmi Menteri Rezeki untuk mesyuarat makan-makan diketahui umum. Zaman Digitalsia dan Gogelsia seperti sekarang ini tidak ada lagi yang rahsia.

"Santapan apa malam tadi di busut kediaman rasmi Menteri Rezeki?" usik kerengga jantan biru muda dari parti cop warna merah itu.

"Kami dihidang dengan santapan lazat dari madu lebah dan madu kelulut yang amat manis rasanya."

"Kamu sedutlah madu madu manis itu sampai kenyang?" Perli kerengga jantan biru muda itu.

"Aku tak berani sedut. Aku tak selera makan," kata kerengga biru tua pekat itu selamba.

"Kenapa pula kamu tak berani sedut dan tak selera makan? Tidakkah kita spesis kerengga amat suka benda-benda manis seperti madu lebah dan madu kelulut itu?" Hujah balas si kerengga jantan biru muda dari parti gabungan merah.

"Engkau hendak tahu jawapannya?" Tanya kerengga biru tua pekat seperti menduga.

"Sudah tentu aku ingin tahu. Aku dengar ada cerita agenda peralihan kuasa melalui pintu belakang di bincang. Betulkah?" Tanya kerengga jantan biru muda seperti tidak sabar untuk dapatkan kepastian.

Kerengga jantan biru muda ini adalah penyokong tegar MP dari Busut Parlimen Potpotdiksen yang dijanjikan oleh warkah batu bersurat parti gabungan merah untuk jadi Mamak Bendahara Menteri Perdana kelapan menggantikan MP kerengga busut dari Langlangwi yang jadi Mamak Bendahara Menteri Perdana ketujuh sekarang ini.

"Tolonglah cakap kenapa engkau tak berani sedut madu-madu lebah dan madu kelulut yang manis di busut kediaman rasmi Menteri Rezeki itu," tanya kerengga jantan biru muda itu.

Ketika itu loceng Parlimen Kerenggasia berbunyi selama dua minit.Waktu itu MP dari Busut Potpotdiksen dan Mamak Bendahara Menteri Perdana dari Busut Langlangwi telah bertenggek di kerusi empuk masing-masing.

"Cepatlah jawab!" pinta kerengga jantan biru muda kepada kerengga jantan biru tua pekat. Mereka berdua ini saling kenal mengenali kerana busut-busut parlimen mereka bersebelahan yang kedua-duanya terletak di negeri Darul Silver.

"Baiklah jawapanku ada tiga sebab mengapa aku tak berani sedut madu-madu lebah dan kelulut yang manis-manis itu. Pertama aku tak mahu termakan budi, kedua aku tak suka mesyuarat makan-makan untuk susun papan kerajaan pintu belakang."

"Sebab ketiga?" tanya kerengga jantan biru muda apabila melihat kerengga biru tua pekat itu terhenti lama bersuara.

"Sebab ketiga sebab aku mendapat firahsat di dalam hati yang memberitahuku, biasanya dalam santapan yang manis-manis itu seperti madu, ada kalanya mengandungi racun."

Kerengga jantan biru pekat segera meningalkan temannya YB berbaju biru muda itu terkapa-kapar mentafsir jawapan. Kerengga biru tua pekat itu kembali ke kerusi blok pembangkang.

Bentara Parlimen Kerenggasia masuk ke dalam dewan dengan memikul cokmar berat dibuat dari batang pokok getah dan di hujungnya diikat setandan kelapa sawit merah, dua komoditi utama lambang Negara Kerenggasia yang merdeka dan berdaulat.

Tuan speaker berjalan masuk dengan berjubah warna hitam dibuat dari kulit pokok cendana.

Sidang mesyuarat parlimen pun bermula dengan bacaan doa kemudian diikuti dengan oalan-soalan lisan.

Seekor YB dari busut parti merah yang jadi backbencer bertanya. "Saya minta Menteri Rezeki menjelaskan kenapa 22 YB kerengga datang ke rumah saya?"

“Makan-makan itu. Bukan mesyuarat, hanya perjumpaan biasa-biasa saja.YB-YB itu bertanyakan peruntukan madu-madu lebah dan kelulut di kawasan busut masing-masing." jelas Menteri Rezeki itu dengan selamba.

"Soalan tambahan pertama?" Tuan Speaker menjemput YB biru muda yang mengemukakan soalan asal tadi.

"Saya dimaklumkan ada perbincangan untuk tubuhkan kerajaan secara pintu belakang. Betulkah?" tanya YB backbencer dari parti reformasi biru muda.

Menteri Rezeki dari busut berombak memandang ke kanan, ke arah belakang untuk melihat wajah YB biru muda yang tidak memihak kepadanya dalam pergolakan parti reformasi biru muda itu. Kemudian dengan tenang tetapi muka dan telinganya kelihatan merah, lalu menjawab. Dia tak suka dengar apa-apa perkara pun yang dihubung kait dengan pintu belakang.Tetapi perkataan pintu belakang belum lagi mendapat ruling dari Tuan Speaker sebagai unparliamentary words.

"Tak ada perbincangan berkenaan kerajaan dari pintu belakang," jawab YB dari busut Berombak itu.

"Yang ada agenda bentuk kerajaan secara pintu belakang ialah pihak yang cuba ambil alih jawatan Mamak Bendahara Menteri Perdana sebelum tamat lima tahun mandat yang diberi oleh rakyat dalam pilihan raya umum ke-14."

Jawapan Menteri Rezeki itu menimbulkan rasa gelisah dan marah-marah dari MP-MP biru muda yang menyokong MP Potpotdiksen. Ada seorang daripada mereka bangun untuk memohon mengemukakan soalan tambahan kedua. Sebaliknya Tuan Speaker menjemput soalan tambahan kedua dari blok pembangkang.

MP dari Pasar Menyalak bangun lalu menyoal: "Adakah YB Busut Berombak tidak mahu tunai janji manifesto pilihan raya dan perjanjian bertulis Majlis Kepresidenan Parti Merah yang menyatakan YB Langlangwi hanya memegang secara interim saja atau sementara, dan selepas dua tahun jawatan Mamak Bendahara Menteri Perdana diserahkan kepada YB dari Potpotdiksen?"

YB Potpotdiksen duduk diam saja. Ini bukan floor atau lantainya untuk menjawab. Tak manis pula untuk dia mencelah.

Menteri Rezeki dari busut Berombak itu dengan muka tebal dan jiwa yang keras lantas menjawab.

“Dalam manifesto pilihan raya dan di dalam Perjanjian Majlis Kepresidenan tidak ada disebut perkataan interim atau tempoh jawatan sekadar dua tahun. Saya berpendirian jawatan Mamak Bendahara Menteri Perdana mestilah sampai tempoh lima tahun sehingga PRU ke-15."

Jawapan YB busut Berombak itu menerima respons keras YB yang menyokong YB Potpotdiksen.

Terdengar jeritan "Renegade! Pembelot! Lawan tauke! Bakal Mamak Bendahara Pintu belakang! Cartel! Cartel!"

Menteri Rezeki dari busut Berombak itu tidak tunggu lama. Dia telah menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan.

Kemudian seekor kerengga dari blok MP warna hijau dari busut Kuala Penyu bangun mencelah."Tuan Speaker, saya mohon mengusulkan supaya YB dari Potpotdiksen membuat penjelasan tentang projek peralihan kuasa. Ini isu nasional, isu semasa, isu yang berkepentingan awam dan perlu disegerakan."

"Bawah peraturan apa usul secara lisan ini mahu dibahaskan. Peraturan apa?" tanya Tuan Speaker yang sebelum ini memegang jawatan Hakim Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman Kerengga di Putrapaya.

Bangun seekor Kerengga dari parti merah gabungan kerajaan yang juga mewakili busut Jelutongtong. Beliau yang pernah menjadi peguam dan kini menjadi MP mewakili parti putih dengan logo roket angkasa segera bangun dengan mengangkat tinggi tangan kanannya yang memegang buku standing order atau peraturan mesyuarat.

"Peraturan mesyuarat No 18(2) Tuan Spraker. Pada hemat saya, Tuan speaker boleh mendengar penjelasan dari YB Potpotdiksen,"

"Saya MP dari Busut Kaparu menyokong usul dari MP Jelutongtong," tegas YB penyokong tegar dan dahsyat yang amat setia kepada YB Potpotdiksen.

YB Kaparu sudah jadi MP sebanyak tiga penggal tetapi namanya tak naik jadi menteri pimpinan YB Langlangwi. Namun dia tetap setia dengan partinya dan kepada YB Potpotdiksen yang kini jadi presiden parti biru muda dan dua jalur merah kiri kanan mata berwarna putih.

YB Kaparu selalu lantang mempertahankan YB Potpotdiksen kerana dia tidak mahu presiden partinya sekali lagi putih mata untuk dinobat sebagai Mamak Bendahara Menteri Perdana yang kelapan.

Tuan Speaker kelihatan menyemak Peraturan Mesyuarat No 18(2) dan kemudian mengumumkan keputusannya.

"Selepas saya menyemak Peraturan Mesyuarat No18(2) dan lain-lain peraturan yang ada dalam standing order ini serta semangat reformasi institusi Parlimen Kerengga ini, maka saya mendapati usul yang dibawa oleh YB Kuala Penyu mempunyai merit.

“Pertama isu yang dibangkit ialah spesifik iaitu isu pembentukan kerajaan melalui pintu belakang; kedua isu tersebut adalah berkepentingan orang ramai iaitu semua warganegara Kerenggasia ini; dan ketiga, isu peralihan ini perlu disegerakan kerana semua hamba rakyat kerengga tertanya-tanya, begitu juga pelabur-pelabur asing tidak yakin dengan stabiliti politik negara Kerenggasia kita sekarang ini.

“Jadi saya benarkan YB Potpotdiksen memberi pendiriannya dalam soal pembentukan kerajaan secara pintu belakang.”

YB dari busut Pasir Bergudang-gudang yang merupakan seorang backbencer penyokong kerajaan merah dan juga anggota parti biru muda yang tegas menyokong YB Potpotdiksen dalam isu peralihan kuasa berasa gembira dengan ruling Tuan Speaker. Sebagai seorang lawyer yang dilatih membaca apa yang tersirat di bawah garis dan apa yang diucap lisan oleh Tuan Speaker, dia nampak seperti rambut dibelah tujuh bahawa isu peralihan jawatan Mamak Bendahara Menteri Perdana juga menarik minat Tuan Speaker sehingga Tuan Speaker tadi agak tidak neutral pendiriannya. Apapun YB dari busut Pasir Bergudang-gudang yang telah dua kali buat statment akhbar meminta YB Langkangwi supaya letak jawatan segera dan serah kepada YB Potpotdiksen berasa gembira dengan ruling Speaker itu tadi.

"Sila YB Potpotdiksen memberi penjelasan dan pendirian berhubung isu pembentukan kerajaan secara pintu belakang. Saya beri 15 minit," ujar Tuan Speaker.

MP dari Potpotdiksen bangun, menghidupkan mikrofon di depannya, dan berdiri tegak. Semua mata tertumpu ke arahnya dan kemudian mata MP-MP itu beralih memerhati kepada YB Langlangwi yang duduk di blok eksekutif di baris paling depan dan paling kiri.

MP Potpotdiksen memulakan ucapannya dengan memberi salam, kemudian dia bersuara,"Ucapan saya ringkas sahaja, tak sampai 15 minit, hanya beberapa saat sahaja, Tuan Speaker. Saya ucapkan terima kasih kepada Tuan Speaker dan semua MP dari semua busut yang ada di dalam Dewan Parlimen ini, baik dari blok kerajaan, blok pembangkang, dari Blok Rewang Kebangsaan, Blok MP bebas dan blok kadang-kadang friendly dan kadang-kadang tidak friendly dari busut Burung Kenyalang."

MP Potpotdiksen berhenti sekejap menarik nafas sambil memikir ucapan seterusnya.

"Saya berasa amat dihargai kerana dapat membahaskan usul dari YB Kuala Penyu di hadapan YB Langlangwi, Mamak Bendahara Menteri Perdana yang kita hormati dan sayangi," ujar YB potpotdiksen yang telah berumur 72 tahun di mana hampir 11 tahun umur mudanya habis di dalam penjara, antaranya semasa YB Langlangwi berkuasa.

"Saya tak setuju pembentukan sesebuah kerajaan di Negara Kerenggasia ini dilakukan secara pintu belakang. Kena ikut cara yang telus, beretika dan sah iaitu masuk melalui pintu hadapan," tegas YB Potpotdiksen.

Ketika itu presiden parti hijau bangun mencelah. YB dari Busut Memerang bersuara.

"Saya dan parti saya, parti hijau tidak menghalalkan masuk melalui pintu belakang. Bagi parti hijau kami, cara yang sah dan halal ialah kerajaan mesti dibentuk melalui pintu hadapan. Masuk melalui pintu belakang bukan sahaja tidak sah tetapi berdosa," tegas MP dari Busut Memerang yang memakai jubah hijau dan berserban juga hijau.

Dewan riuh menyokong ucapan YB Busut Memerang itu.

"Bravo! Bravo!” Kedengaran suara menyokong dari Blok yang ramai YB biru muda.

Lima orang YB biru muda yang hadir di mesyuarat makan-makan semalam di kediaman Menteri Rezeki rasa terkejut dengan pendirian presiden Parti Hijau itu.

Tuan Speaker mengucapkan terima kasih kepada YB busut Memerang. Kemudian beliau menjemput YB Langlangwi berucap.

"YB Langlangwi merangkap Mamak Bendahara Menteri Perdana supaya berucap membahaskan Usul berkenaan isu pembentukan kerajaan dari pintu belakang. Saya berikan 15 minit juga dan YB Langlangwi merupakan pembahas terakhir."

Mamak Bendahara Menteri Perdana yang juga MP Langlangwi kelihatan sehat dan segar

Pagi ini. Dia tidak lagi mengeluarkan sapu tangannya untuk mengesat darah yang keluar dari hidungnya seperti dalam satu majlis rasmi beberapa hari dahulu di Keelsia. Umurnya semakin menghampiri satu kurun. Satu pencapaian peribadi di peringkat dunia sebagai ketua kerajaan paling tua dalam dunia kerengga semesta alam.

Pada saat itu YB dari busut Pasir Bergudang-gudang melihat Mamak Bendahara yang tua itu bangun dari kerusi dia bertenggek tadi.YB dari busut Pasir Bergudang-gudang rasa bersalah pula kerana dengan lantang dan celupar pernah mendesak sebanyak dua kali supaya YB Langlangwi letak jawatan sebagai Mamak Bendahara Menteri Perdana.

Tetapi dia berbuat begitu ada alasannya dengan mengambil contoh Winston Churchill dan David Cameron dua perdana menteri kerengga dari busut United Kingdomsia. Tidaklah biadab sangat dirinya bila mengeluarkan statement media seperti itu, fikir YB biru muda dari busut Pasir Bergudang-gudang.

"Tuan Yang DiPertua,” YB Langlangwi bersuara.

"Saya ingin menjelaskan di dalam Dewan Parlimen yang mulia ini dua perkara. Pertama saya setuju dengan ucapan YB Potpotdiksen sebentar tadi, iaitu perubahan kerajaan atau pembentukan kerajaan mestilah secara sah, ikut pintu hadapan. Mesti telus tak boleh secara gelap-gelap melalui pintu belakang. Yang selalu masuk secara gelap melalui pintu belakang ialah pencuri, bukan watak seorang pemimpin," ujar YB Langlangwi.

Kedengaran meja MP dari semua blok ditepuk gembira dengan kuat, termasuk YB dari busut Pasir Bergudang-gudang turut bertepuk sama secara spontan tanpa dia sedari, satu tindakan refleks saraf semula jadi.

Ketika itu MP dari utara dari busut Mengarau-arau bagun mencelah.

"Tuan Speaker dengan ucapan YB Langlangwi, YB Potpotdiksen dan YB Busut Memerang, saya percaya indeks Pasaran saham Keel hari ini pasti akan naik melonjak.Terima kasih," ujar YB dari busut Mengarau-arau dengan disambut senyuman dan tepukan dari ramai MP dari semua blok politik dalam dewan itu, kecuali lima ekor kerengga biru muda penyokong Menteri Rezeki yang pergi ke mesyuarat makan-makan malam tadi.

"Perkara yang kedua Tuan Yang DiPertua, saya suka mengulangi sekali lagi, kali ini di dalam dewan yang mulia ini, bahawa saya akan mematuhi janji. Saya akan lepaskan jawatan saya selaku Mamak Bendahara Menteri Perdana tidak kepada orang lain, melainkan YB Potpotdiksen.Tidak kepada orang lain, hanya kepada YB Potpotdiksen. Saya akan tunaikan janji saya bila sampai masanya. Saya sudah tua, percayalah saya tidak akan mungkir janji!" tegas YB Langlangwi.

Tepukan meja bergema lagi, kali ini lebih kuat.YB dari busut Pasir Bergudang-gudang berasa amat lega dengan janji Mamak Bendahara Menteri Perdana itu sebentar tadi. Dia cuba menekan pemikiran guamannya sebagai lawyer yang selalu ada suspicious minded. Dia ingin percaya, dia ingin bersangka baik. Dia percaya ucapan YB Langlangwi itu dibuat secara bona-fide.Tapi jauh di belakang mindanya, YB Busut Pasir Bergudang-gudang masih ada reservation.Dia ada kaveat dan sedia memberi benefit of the doubt terhadap janji-janji Mamak Bendahara Menteri Perdana Ketujuh itu.

Selepas YB Langlangwi habis berucap, MP dari busut Mengarau-arau bangun lagi."Tuan Speaker, saya nak berkongsi maklumat," katanya dengan menunjukkan telefon bimbitnya ke arah Tuan Speaker.

"Apa yang saya cakap tadi terbukti betul. Tengok statistik dalam telefon saya bahawa indeks saham Keel Stock Exchange meloncat naik. Dengan ucapan pengakuan YB Langlangwi yang jelas akan melaksanakan janji peralihan kuasa, saya percaya Indeks Saham Keel akan mencanak naik. Sekali lagi terima kasih YB Langlangwi, you are great," ujar YB Mengarau-arau memuji Mamak Bendahara Menteri Perdana.

YB Langlangwi tersenyum saja melihat gelagat YB dari busut Mengarau-arau dari Darul Indra Kayangansia di utara itu yang telah dikenalinya sejak lama.

Tuan Speaker segera mencelah takut YB Mengarau-arau bercakap tak habis-habis di hadapan Mamak Bendahara Menteri Perdana, lalu bersuara:

"Adakah semua bersetuju bahawa peralihan kuasa dan perubahan kerajaan mesti melalui pintu hadapan?" tanya Tuan speaker.

"Jika setuju katakan setuju!" ujar Tuan Speaker.

Suara menyatakan setuju kedengaran kuat."Siapa yang tak setuju katakan tidak!" ujar Tuan Speaker.

Tak ada suara kedengaran menyatakan tidak.

"Suara bersetuju lebih banyak dari yang tidak setuju," ujar Tuan speaker.

"Jadi usul dari YB Kuala Penyu diterima. Saya ucapkan terima kasih kepada semua YB. Jam pun sudah sampai pukul 1 petang, jadi saya tangguhkan mesyuarat ini sehingga kita jumpa lagi 2.30 petang ini.

Sekian adanya.


HASSAN ABDUL KARIM ialah anggota parlimen Pasir Gudang dan bekas pengerusi PKR Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.