Skip to main
Logo Malaysiakini

Spinney si burung besar meninggal dunia

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pelakon Caroll Spinney yang membawa watak Big Bird dan Oscar The Grouch dalam siri kanak-kanak Sesame Street meninggal dunia selepas hampir separuh abad mengabdikan diri dengan tugasnya.

Spinney berusia 85 tahun.

Menurut kenyataan Sesame Workshop - pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menerbitkan rancangan berkenaan - Spinney menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Connecticut selepas mengalami gangguan saraf dikenali sebagai distonia.

Penyakit itu menyebabkan pergerakan otot tidak dapat dikawal menyebabkan Spinney terpaksa bersara daripada kerjayanya pada usia 84 tahun.

Spinney menjayakan karakter Big Bird dan Oscar serta meminjamkan suaranya sejak rancangan berkenaan ke udara pada 1969.

"Carroll Spinney seorang genius artistik yang baik hati dan penuh kasih sayang terhadap dunia dengan membantu mentaktrifkan Sesame Street sejak hari terawalnya pada 1969 hingga selama lima dekad.

“Legasi beliau di Sesame Workshop dan firma kebudayaan tidak akan berakhir,” menurut kenyataan tersebut.

Dikisahkan dalam dokumentari

Sebelum ini, Spinney mendedahkan bagaimana rancangan Sesame Street begitu penting terhadap dirinya.

“Sebelum saya datang ke Sesame Street, saya tidak terfikir apa yang saya lakukan adalah penting. Big Bird membantu saya mencari matlamat hidup,” katanya.

Spinney mula menggemari persembahan boneka ketika beliau berusia lima tahun selepas menonton persembahan Three Little Kittens.

Dia meneroka pertunjukan boneka sepanjang zaman kanak-kanak dan remaja serta menggunakan persembahannya untuk mengumpul wang tuisyen kolej.

Karya Spinney mengenai program kanak-kanak membantu dia memperolah dua Anugerah Grammy dan enam Anugerah Emmy serta Anugerah Emmy bagi Pencapaian Sepanjang Zaman yang diterimanya pada 2006.

Pelakon boneka itu juga diberi penghormatan bintang di Hollywood Walk of Fame pada 1994 dan Anugerah Perpustakaan Legenda Living Legends pada 2000.

Karier dan kehidupan Spinney juga didokumentasi dalam filem yang terkenal pada 2014, iaitu I Am Big Bird.

"Bakat dan pemikiran geniusnya menjadikan Big Bird sebagai kawan berbulu kuning yang paling disayangi di seluruh dunia," kata Joan Ganz Cooney, pengasas bersama Sesame Workshop.