Dr Mahathir puji Ejen Ali bertaraf dunia
Selepas meluangkan hampir dua jam menonton Ejen Ali The Movie malam tadi, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan perkembangan bidang animasi 3D negara banyak bergerak ke arah positif dari segi kematangan.
Dr Mahathir berkata, kematangan itu dilihat apabila Ejen Ali The Movie antara filem animasi yang menunjukkan ia bergerak seiring dengan teknologi yang mempunyai kelas antarabangsa.
Justeru, kata beliau, rakyat Malaysia boleh berbangga dengan pencapaian filem animasi berkenaan.
“(Ejen Ali The Movie) tak seperti dari Malaysia. Nampak ia seiring dengan teknologi bertaraf dunia.
“Kita perlu berbangga filem animasi tempatan boleh ke luar negara,” katanya ketika ditemui selepas sesi tayangan khas itu di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur.
Dr Mahathir menonton Ejen Ali The Movie sambil ditemani isterinya, Dr Siti Hasmah Mohd Ali. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar dan CEO WAU Animation serta Pengarah, Usamah Zaid Yasin.
Pada masa sama, Dr Mahathir juga berpendapat, Ejen Ali The Movie menunjukkan kini semakin ramai bakat tempatan cekap dalam menghasilkan animasi yang proses dan teknik penghasilannya agak rumit.
“Ramai orang kita cekap dalam menghasilkan animasi yang bermula dengan lukisan karakter dan sebagainya.
“Untuk membuat cerita begitu bukan mudah ditambah pula dengan kelengkapan muzik latar, semuanya lengkap. Ni saya fikir bertaraf dunia,” katanya.
Baru-baru ini Ejen Ali The Movie melakar sejarah tersendiri apabila berjaya mengutip lebih RM13 juta sejak ditayangkan bermula 28 Nov lalu.
Selain itu, filem animasi berkenaan juga meraih kutipan tertinggi dan menodiminasi carta GSC Top 10 Movies selama empat hari berturut-turut.
Ejen Ali The Movie berkisahkan seorang budak bernama Ali, berusia 12 tahun direkrut menjadi perisik sebuah agensi perisikan yang dikenali sebagai Meta Advance Tactical Agency (Mata).
Mata berperanan melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar. Konflik mula timbul apabila Ali mengetahui dia bukan satu-satunya ejen yang boleh mengawal gajet istimewa Infinity Retinal Intelligence System (Iris) - yang kemudian diubah suai.
Ali mempersoalkan inovasi baru tersebut selain berada terpinggir dan tergugat daripada kedudukannya sebagai ejen istimewa sehingga dia didatangi individu misteri yang boleh merungkai kisah silamnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai