Skip to main
Logo Malaysiakini

Karyawan pertahan Gobind, desakan letak jawatan pandangan minoriti

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) berkata desakan enam persatuan agar Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Sing Deo, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hans Isaac dan Ahli Lembaga Pengarah Finas letak jawatan tidak mencerminkan pandangan majoriti komuniti perfileman tanah air.

Presiden Karyawan Freddie Fernandez berkata secara keseluruhan terdapat lebih 30 persatuan - jika mengambil kira persatuan filem melibatkan penerbit Cina,India, Sabah dan juga Sarawak - dalam industri perfileman, termasuk persatuan terbesar iaitu Persatuan Penerbit Filem (PFM).

“Jadi apa yang dilakukan oleh enam persatuan ini sudah jelas tidak mewakili pendapat majoriti penggiat filem dan televisyen yang kebanyakannya tidak bersetuju dengan pandangan enam persatuan ini," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas gesaan tersebut yang dibuat oleh Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima), Persatuan Sutradara Malaysia, Persatuan Komuniti Filem Titiwangsa, Pertubuhan Industri Kreatif Digital, Persatuan Sinematografi Malaysia dan Persatuan Seniman Malaysia, semalam.

 

Turut hadir dalam sidang media semalam ialah mantan ketua pengarah Finas, Kamil Othman serta Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Nadzim Johan.

Antara sebab yang diberikan mereka ialah masing-masing gagal membawa penambahbaikan dalam Finas.

Mereka antara lain mendakwa Hans Isaac dianggap tidak layak untuk menjadi pengerusi Finas manakala Gobind pula dilihat bersikap acuh tidak acuh terhadap masalah industri dan tak mesra dengan penggiat seni.

Freddie berkata lagi, industri sepatutnya berterima kasih atas pengumuman Gobind berkenaan kenaikan harga program televisyen oleh RTM sebanyak 10 hingga 60 peratus.

“Malangnya apa yang berlaku adalah sebaliknya. Menteri diajak letak jawatan pula.

"Ini suatu tindakan yang tidak memberi gambaran benar tentang pendapat pemain industri yang kebanyakan mereka bersyukur dan berterima kasih kepada menteri atas pencapaian ini," katanya lagi.

Menurut laporan Berita Harian semalam, Gobind berkata kadar kenaikan berdasarkan kategori rancangan iaitu 20 hingga 60 peratus bagi telefilem, 30 hingga 60 peratus (drama bersiri), 10 hingga 30 peratus (penerbitan dokumentari/majalah) dan 30 peratus (animasi bersiri).

Kata Gobind, kadar baru itu akan bermula April 2020 dan tertakluk kepada beberapa faktor, antaranya kualiti produk.

Menurut Freddie lagi, Finas kini sedang mengalami transformasi dan penambahbaikan di era kerajaan baru dan mungkin sesetengah pihak tidak faham proses itu kerana terbiasa dengan struktur lama.

"Saya rasa menteri lebih memahami apa yang perlu dilakukan sama ada merombak hierarki atau menyusun semula struktur Finas.

"Semua penggiat filem dan televisyen harus sokong usaha ini dan tidak benarkan diri mereka dipengaruhi oleh kumpulan yang merupakan minoriti dalam industri," katanya lagi.