Skip to main
Logo Malaysiakini

'Ip Man' lega tiada lagi filem kung fu lepas ini

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Selepas bergelumang hampir 12 tahun dalam filem padat aksi kung fu, Ip Man, akhirnya bintang filem Hong Kong, Donnie Yen, berasa lega apabila dia tidak lagi terbeban dengan tanggungjawab sedemikian.

Yen berkata, kesukaran menghasilkan filem sebegitu menjadi antara alasan menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menjadikan Ip Man 4: The Finale sebagai filem kung fu lakonannya yang terakhir.

"Jika dilihat dari sudut berbeza, ya (lega). Ia satu kepuasan sebagai artis kerana bersungguh-sungguh untuk cipta peranan yang selamanya akan kekal di hati peminat.

"Bukan semua aktor berpeluang menerima watak istimewa seperti ni dan saya bersyukur kerana boleh menyentuh hati peminat.

"Apa pun semua benda baik harus berakhir dan saya rasa ni satu pengakhiran yang baik," katanya.

Yen ditemui pada sidang media filem berkenaan di sebuah hotel di Kuala Lumpur kelmarin.

Turut hadir pelakon Denny Chan Kwok Kwan yang memegang peranan sebagai Bruce Lee, penerbit Raymond Wong dan penulis skrip Edmond Wong.

Bukan semua aksi adalah kung fu

Di Malaysia, Ip Man 4: The Finale akan ditayangkan pada 20 Dis ini.

Naskhah berkenaan menjadi pelengkap untuk francais Ip Man yang bermula pada 2008.

Ip Man ialah filem biografi tokoh seni bela diri Wing Chun dan guru seni bela diri kepada Bruce Lee.

Mengulas lanjut, Yen yang juga penerbit bersama Ip Man itu berkata, untuk muncul dengan sebuah naskhah filem seni bela diri kung fu yang baik produk perlu berdepan pelbagai cabaran.

"Amat sukar untuk hasilkan filem seperti Ip Man sebab ia menggunakan banyak wang dan perlu kepada pelakon yang mempunyai kemahiran bertarung.

"Pihak lawan juga kena sama kuat dah ada kemahiran untuk hasilkan babak klasik kung fu," katanya.

Bagaimanapun, pelakon yang memegang peranan sebagai Ip Man itu menegaskan, kenyataan tersebut bukan bermaksud dia tidak lagi bakal tampil dalam sebarang filem aksi.

"Ip Man 4: The Finale adalah filem kung fu terakhir saya. Namun, jangan salah faham kerana ia bukan bermaksud saya akan berhenti berlakon filem aksi.

"Filem kung fu adalah filem aksi tetapi filem aksi bukan semestinya filem kung fu. Perlu faham hakikat itu," katanya.

Pada masa sama, selama 37 tahun terbabit filem aksi, Yen berkata tubuh badannya juga sudah boleh diibaratkan seperti kereta api rosak.

"Biasanya saya cuba pulih sebaik mungkin tapi bila semakin tua ia hampir mustahil.

"Badan dah macam broken train tapi enjin masih kuat. Ini sebahagian daripada karier saya dan akan cuba untuk pastikan ia terus berfungsi selama mungkin," katanya.