Skip to main
Logo Malaysiakini

Wann anggap ada hikmah tersingkir sebelum final

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Penyanyi yang terkenal menerusi lagu Bossanova, Wann menyifatkan penyingkirannya di pusingan separuh akhir Gegar Vaganza musim keenam (GV6) sebagai ada hikmahnya tersendiri.

Ini kerana, katanya, dia tidak mampu membawakan lagu bergenre rap battle yang perlu dinyanyikan oleh peserta di pusingan akhir GV6 sekiranya berpeluang mara ke pusingan akhir pertandingan itu.

Justeru, dia berasa lega dengan penyingkirannya pada konsert bertemakan Road to Final yang diadakan di Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), semalam.

“Mungkin ada hikmah saya tersingkir (di minggu sepuluh) sebab minggu depan tugasan peserta kena menyanyikan lagu rap. Dalam hati boleh ke saya nyanyi lagu rap? Nanti buruk pula.

“Nasib baik saya tak nyanyi. Saya memang tak boleh buat,” katanya kepada pemberita selepas sidang media, semalam.

Ditanya mengenai perasaan apabila Wann beberapa kali berada di senarai bawah pertandingan itu, dia mengakui sudah melakukan yang terbaik, namun tidak menafikan penyanyi lain juga mempunyai bakat luar biasa.

“Persembahan saya tidak ada sesuatu yang berbeza (untuk saya tunjukkan) seperti One Nation Emcees dan Naqiu Boboy, sebab saya hanya menyanyi saja,” katanya.


Baca: 6 peserta bersaing di pusingan akhir GV6 minggu depan


Semalam, Wann menyanyikan dua buah lagu berjudul Dua Insan duet bersama Zarul Umbrella dan Ku Gembira di Sampingmu secara solo.

Turut tersingkir Noorshila Amin yang menyanyikan lagu Kerna Terpaksa dan duet bersama Ifa Raziah dengan membawakan lagu Dialah di Hati.

Persembahan kedua-dua mereka gagal menambat hati para juri tetap Ramli MS dan Hetty Koes Endang serta juri jemputan M Nasir.

M Nasir memberikan komen bahawa persembahan Wann berada pada tahap yang biasa tanpa menunjukkan pembaharuan dari segi nyanyiannya.

“Kononnya saya datang ingin mencari kesalahan, adalah sikit-sikit tapi lagu ini mudah jadi saya tak nampak wow itu. Okay, sederhana,” kata komposer terkenal itu.

'Hanya cuba nasib'

Hetty bersetuju dengan komen yang diberikan M Nasir dan mengatakan Wann tidak memberikan sepenuh persembahan meskipun sudah berada di pusingan separuh akhir.

“Saya mahu tanya Wann, apa kehebatan kamu hingga kamu bisa masuk sampai final?

“Suara kamu unik Wann, tapi kamu kurang versatil. Saya nampak kamu tidak ada sesuatu yang kamu ingin sampaikan hingga saya boleh berdiri melihat kamu menyanyi,” katanya.

Menjawab persoalan Hetty dengan sifat rendah diri dan hati yang terbuka, Wann berkata, penyertaannya di GV6 hanya sekadar mencari peluang untuk tampil di pentas nyanyian.

“Sebenarnya saya tak sehebat mana, cuma saya masuk bertanding untuk mencuba nasib sahaja,” katanya.

Ahad depan, enam peserta iaitu Hady Mirza, Naqiu Boboy, Jatt, One Nation Emcees, Sham Visa dan Nurfatima bakal berentap di pusingan akhir GV6 di Auditorium, MBSA.

Juara GV6 bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 beserta trofi, naib juara (RM50,000) dan tempat ketiga (RM30,000).

Tempat keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,00 beserta trofi.