Skip to main
Logo Malaysiakini

Esei peribahasa, sajak Untuk Mei antara pemenang Anugerah Sastera Selangor

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Lima belas daripada kira-kira 600 sajak, cerpen dan esei yang dihantar untuk Selangorkini diumumkan sebagai antara karya terbaik untuk Anugerah Sastera Selangor yang diadakan di Shah Alam malam tadi.

Daripada jumlah tersebut, satu karya bagi setiap kategori dipilih sebagai pemenang utama dan empat lagi menerima penghargaan sagu hati.

Bagi kategori penulisan esei, karya Abdullah Hussaini Mohd Ghazali, berjudul Evolusi Peribahasa - Dari Unsur Alam Ke Teknologi diangkat sebagai pemenang utama.

Menurut juri, esei Abdullah Hussaini itu berjaya "menyampaikan gagasan dengan jelas, lancar dan sesekali bersahaja dan sekaligus menjadikan tulisannya tidak menjemukan".

Walaupun penulisan esei yang dihantar tahun ini secara umumnya menunjukkan peningkatan berbanding tahun-tahun terdahulu, juri - yang diketuai Dr Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani - mengakui masih terdapat banyak kelemahan yang perlu diperbaiki.

"Penulis masih sangat terikat dengan rukun penghasilan esei seperti yang difatwakan di sekolah. Misalnya, setiap tulisan wajib ada pembukaan, diikuti isi pertama, isi kedua dan seterusnya, dan penutup.

"Ini menjadikan esei kaku, dan tidak menarik," jelas beliau.

Ucapan retorika politik

Bagi setiap kategori yang dipertandingkan, tiga orang juri yang terdiri daripada ketua dan dua panel akan memilih karya terbaik untuk diangkat sebagai pemenang utama.

Bagi kategori puisi, daripada 44 sajak yang di nilai, hanya 17 saja disenarai pendek oleh panel juri sebelum Sajak Untuk Sebuah Mei karya penulis kelahiran Kedah, Aziz Zabidi, dipilih sebagai pemenang.

Tidak pernah menghantar karyanya ke mana-mana penerbitan selain kepada portal berita negeri sebelum ini, Sajak Untuk Sebuah Mei dipilih berdasarkan beberapa kriteria seperti pengucapan dan pemilihan kata yang segar dan penggunaan perlambangan yang tidak klise.

Untuk kategori cerpen pula, karya Pasca Percintaan daripada Nasser Mikraj diangkat sebagai pemenang utama untuk mengetepikan 41 lagi cerpen yang telah dihantar kepada pihak juri untuk dinilai.

Sebelum diangkat sebagai pemenang utama kali ini, cerpen itu terlebih dahulu disenarai pendek bersama 11 lagi cerpen lain untuk dibahaskan dari semua sudut.

"Setelah perbincangan mendalam kami memutuskan untuk memberikan Pasca Percintaan sebagai penerima hadiah utama.

Faisal Tehrani

"Sebagai cerpen mikro atau mini, cerpen ini memiliki isu yang dapat dipegang, olahan yang baik, dan subjek cerpen tersebut berjaya diketengahkan dalam jumlah perkataan yang terhad," kata Faisal semasa membentangkan laporan juri dalam majlis malam tadi.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari yang turut hadir malam tadi turut memuji pertandingan itu walaupun baru saja dimulakan ketika beliau menjadi exco kebudayaan negeri pada 2015.

Katanya walaupun menghadapi pelbagai halangan untuk mengekalkan ruangan hasil karya kreatif dalam akhbar terbitan negeri, Selangorkini, beliau berpuas hati untuk meneruskan idea-idea dan gagasan kreatif peserta.

Amirudin (empat dari kiri) bersama enam sasterawan negara

Biarpun berdepan dengan kekangan untuk hanya menggunakan akhbar itu untuk menyampaikan maklumat kepada rakyat , beliau menegaskan semua pihak harus melihat dengan menyeluruh bagaimana penghasilan karya kreatif dapat menyumbang kepada masyarakat dalam memahami dan menghayati perubahan dalam segenap aspek kehidupan di keliling mereka.

“Saya percaya melalui penghasilan karya kreatif kita masih mampu untuk menyampaikan idea dan pandangan serta gagasan dan maklumat dan kadangkala lebih enak dan santai untuk dihadam.

“Berbanding seketul-seketul dan sejelas ucapan dan retorika politik mahupun perbahasan idea antara kerajaan dan laman-laman politik,” katanya.

Acara itu yang dihadiri lebih 100 tetamu pada malam tadi turut diserikan dengan kehadiran enam asterawan Negara iaitu A Samad Said, Dr Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala, Dr Zurinah Hassan, Dr Anuar Ridhuan, Baha Zain serta Dr Siti Zainon Ismail.

Anugerah tersebut dianjurkan buat kali pertama pada 2015 dengan nama Anugerah Sastera Selangorkini. Ia tidak diadakan pada 2016 sebelum disambung pada 2017 hingga kini.