Skip to main
Logo Malaysiakini

Kecaman warganet buat Sham terhibur

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tersurat sudah Sham Visa menjadi salah seorang finalis untuk Gegar Vaganza musim keenam (GV6) pada Ahad ini.

Dianggap terus disebelahi tuah, penyanyi Untukmu Selamanya itu menyedari ada segelintir pihak tidak berpuas hati dengan keputusan itu. Antara lain mereka berpendapat ada penyanyi lain yang lebih layak untuk bertarung di peringkat akhir.

Ditanya mengenai perkara itu, Sham berkata dia sebenarnya terhibur dengan gelagat warganet yang sering mengecam dirinya kerana menganggap persembahan di atas pentas kurang memberangsangkan.

Pada masa sama dia juga berada dalam kelompok dua atau tiga penyanyi paling bawah untuk beberapa kali.

Namun, menerusi lagu Permata (Untuk Isteri) yang didendangkan secara duet bersama Kopratasa dan Usang - secara solo - pada konsert Ahad lalu, Sham berjaya membuktikan dia memang layak ke minggu akhir GV6.

Keep it coming (teruskan mengecam)… saya terhibur sebab ini adalah pengalaman pertama saya dikecam. Mereka (warganet) langsung tidak faham apa yang saya lalui.

“Tetapi selepas berfikir, mereka ini adalah ramuan dalam dunia hiburan. Mereka buat saya terhibur. Teruslah menghiburkan saya,” katanya kepada pemberita di Shah Alam baru-baru ini.

Pada pusingan akhir Ahad ini, Sham diberikan tugas menyanyikan lagu nyanyian asal Farish, Haruskah Diuji, dengan sebuah lagu rap yang belum ditentukan judul lagu bersama pasangannya.

Semasa pihak produksi memberikan tugasan untuk dipersembahkan pada sesi rap battle Ahad lalu, terdapat tiga lagu rap yang disenaraikan iaitu Haa Tepok (Meerfly ft MK K-Clique & Kidd Santhe), In The End (Linkin Park) dan Angguk-Angguk Geleng-Geleng (Ahli Fiqir).

Ditanya apakah pilihannya antara tiga lagu itu, Sham berkata, sekiranya diberi peluang dia tertarik untuk menyanyikan lagu In The End dan tidak menolak jika Naqiu Boboy adalah pasangannya untuk beraksi bersama.

“Naqiu? Kenapa tidak? Kita boleh mula berlatih esok hari. Tapi tak tahulah, wallahu a'lam,” katanya.