Selepas 25 tahun, Mariah lega lagu Krismas ungguli carta Billboard
Hadiah Krismas buat penyanyi popular Mariah Carey tiba lebih awal tahun ini selepas lagu nyanyiannya All I Want For Christmas Is You meraih juara carta Billboard Hot 100 buat pertama kali selepas 25 tahun diterbitkan.
Lebih istimewa, lagu yang cukup sinonim dengan perayaan itu turut mengungguli carta Rolling Stones sepanjang minggu ini.
Susulan kejayaan tersebut, Mariah meluahkan perasaan terharu di Twitter.
“Kita berjaya,” ciapnya ringkas diiringi beberapa emoji termasuk muka menangis dengan gembira.
Sempena ulang tahun ke-25 lagu itu, Mariah lebih giat mempromosikan lagu berbanding biasa, bermula dengan aktiviti sosial selepas perayaan Halloween pada Oktober lalu.
Lagu ratu pop itu dilancarkan pada 1994 sebagai single dan bukan untuk pasaran komersial.
Ketika itu, Billboard menetapkan peraturan untuk tidak membenarkan lagu single bukan komersial memasuki carta Hot 100.
Bagaimanapun, peraturan itu diubah pada 1998, sekaligus membolehkan lagu popular itu disenarai dalam carta pada 8 Januari 2000.
Selain carta Billboard, lagu tersebut turut menduduki tangga teratas dalam platform digital, Amazon Music sejak 25 November lalu.
Malah setakat ini video muzik lagu itu hampir mencecah satu bilion tontonan di YouTube.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai