Skip to main
Logo Malaysiakini

Naqiu, Hady Mirza kongsi juara Gegar Vaganza 6

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Julung-julung kalinya setelah enam musim berlangsung, pertandingan Gegar Vaganza musim keenam (GV6) menyaksikan dua orang juara iaitu Naqiu Boboy dan Hady Mirza.

Kemenangan pada pusingan akhir GV6 yang diadakan di Dewan Auditorium, Majlis Bandaraya Shah Alam itu membolehkan kedua-dua mereka membawa pulang wang tunai berjumlah RM100,000 dan trofi Gegar Vaganza.

Keputusan itu dijalankan secara sebulat suara oleh juri tetap Ramli MS, Hetty Koes Endang dan pereka fesyen terkenal, Rizalman.

Ironinya, tidak ada mana-mana penyanyi yang dinobatkan sebagai pemenang tempat kedua yang sepatutnya membawa pulang wang tunai RM50,000 serta trofi.

Malam tadi, Naqiu menyanyikan lagu dendangan asal Bloodshed berjudul Srikandi Cintaku manakala Hady menyanyikan lagu Ku Bersuara yang dipopularkan oleh Ernie Zakri.

Pada segmen rap battle, Naqiu dan Hady berjaya menyelesaikan tugasan ketika digandingkan dalam segmen rap battle untuk menyanyikan lagu nyanyian asal Meerfly ft MK & Kidd Santhe berjudul Haa Tepok.

Kedua-dua mereka berjaya menumpaskan peserta lain iaitu Sham Visa, Jatt, Nurfatima dan One Nation Emcees.

 

Berpuas hati berada di tempat ketiga, Jatt memenangi hadiah wang tunai RM30,000 dan trofi.

Manakala di tempat keempat, Nurfatima menerima hadiah wang tunai RM20,000 serta trofi.

Sementara itu, One Nation Emcees menerima wang tunai RM15,000 dan Sham (RM10,000) terpaksa akur apabila masing-masing diumumkan sebagai pemenang tempat kelima dan keenam.

Konsert akhir turut dimeriahkan dengan persembahan istimewa dari bekas peserta GV6 iaitu Wann, Noorshila Amin, Roy, Feeza, Kool, Ameer Sofarz dan Mazleela.

Berikut adalah keputusan markah pusingan akhir GV6:

1. Naqiu Boboy - 87%

2. Hady Mirza - 87%

3. One Nation Emcees - 67%

4. Nurfatima - 67%

5. Jatt - 76%

6. Sham Visa - 65%