Skip to main
Logo Malaysiakini

Tok Ram minta semua pihak 'bersihkan hati' terima keputusan GV6

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Segelintir pihak dilihat tidak berpuas hati dengan keputusan akhir Gegar Vaganza musim keenam (GV6) yang menyaksikan Naqiu Boboy dan Hady Mirza berkongsi kejuaraan.

Beberapa warganet berpandangan bahawa dalam sesebuah pertandingan seumpamanya, seharusnya cuma ada satu pemenang sahaja.

Bagaimanapun, juri tetap Ramli MS tampil tenang meskipun diasak dengan pelbagai soalan daripada pemberita dan menolak tanggapan bahawa keputusan itu mencetus kontroversi.

“Mana ada kontroversi. Macam inilah senang, kami (juri) dan juga penganjur sudah bersetuju (Naqiu dan Hady Mirza juara GV6).

“Mungkin yang komen mahu Naqiu juara atau Hady seorang. Saya rasa dalam hal ini, bersihkan hati.

“Astro sudah cukup baik tambahkan hadiah wang tunai untuk kedua-dua juara,” katanya selepas sidang media pada konsert akhir GV6, di Auditorium, Shah Alam, semalam.

Pada minggu kesebelas konsert GV6 semalam menyaksikan Naqiu yang dikenali melalui kumpulan Boboy dan penyanyi Singapura, Hady dinobatkan sebagai juara dengan markah sama.

Mereka masing-masing meraih 87 peratus meskipun sebelum ini.

Kemenangan itu membolehkan kedua-dua mereka membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100, 000 dan trofi GV.

Keputusan itu mengejutkan ramai pihak kerana belum pernah sepanjang enam musim GV berlangsung menyaksikan juara disandang oleh dua peserta.

Dua juri lain Hetty Koes Endang, dan pereka fesyen terkenal Rizalman turut mempertahankan keputusan yang sudah dicapai sebulat suara.

Mengulas lanjut, Ramli menegaskan bahawa tiada perancangan di belakang tabir berhubung keputusan itu.

“Sebagai juri memang kerja saya untuk menentukan siapa juara dan saya tak berpihak kepada mana-mana penyanyi. Kedua-dua mereka layak untuk bergelar juara.

“Memang tidak pernah dirancang, rezeki orang anda tidak tahu. Naqiu dan Hady menghormati muzik, mereka akur dengan kehendak muzik jadi semua setara…

“Bunyi yang mereka hasilkan sangat ikhlas. Saya bentang dan beritahu pihak Astro kita ambil sahaja mereka berdua sebagai juara tahun ini,” katanya.