Skip to main
Logo Malaysiakini

Gegar Vaganza 6: Antara percaturan bakat dan sandiwara?

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

ULASAN GV6 | Gegar Vaganza musim keenam (GV6) 2019 sudah melabuhkan tirainya sejak Ahad lalu.

Pada konsert akhir minggu kesebelas itu menyaksikan Naqiu dari kumpulan Boboy dan penyanyi dari Singapura, Hady Mirza berkongsi kejuaraan.

Kini, Naqiu dan Hady sudah sebaris bersama juara-juara Gegar Vaganza pada musim sebelum ini yang terdiri daripada Ayai Ilusi dari GV musim pertama, Siti Nordiana (GV2), Azharina Azhar (GV3), Aisyah (GV4) dan Noryn Aziz (GV5).

Agak mengejutkan kerana sepanjang enam tahun program televisyen itu berlangsung, GV6 adalah satu-satunya musim yang menobatkan dua penyanyi sebagai juara yang membolehkan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100,000.

Pada masa sama, kemenangan itu sekali gus mengosongkan kedudukan naib juara yang seharusnya membawa pulang wang tunai RM50, 000.

Di tempat ketiga, Jatt berpuas hati menerima hadiah wang tunai RM30, 000 manakala Nurfatima di tempat keempat (RM20, 000), tempat kelima One Nation Emcees (RM15, 000) dan tempat keenam Sham Visa (RM10, 000).

Ketika sidang media, keadaan sedikit tegang apabila juri tetap Ramli MS dan pihak penganjur diasak dengan pelbagai soalan dari wartawan yang membuat liputan.

Soalan bertubi-tubi yang dilontar itu hanyalah untuk mendapatkan jawapan jelas sama ada pemilihan juara GV6 dilakukan secara kebetulan atau terdapat perkara lain yang tidak diberitahu kepada umum.

Justeru, menjawab spekulasi itu, juri tetap Ramli MS atau lebih dikenali sebagai Tok Ram sudah menjelaskan bahawa persembahan Naqiu dan Hady sangat bagus, maka, kedua-duanya wajar diangkat sebagai juara.

Mereka juga dikatakan berkebolehan mengatur rentak muzik dan mewarnai corak nyanyian pada malam terakhir pertandingan itu hingga sampai satu tahap, keputusan merekodkan markah bagi kedua-dua penyanyi itu sama dengan nilai 87 peratus.

Persoalannya, sejauh manakah ketelusan juri Ramli MS, penyanyi terkenal dari Indonesia, Hetty Koes Endang dan pereka fesyen terkenal Rizalman dalam menentukan siapa juara GV6?

Hanya ada seorang juara

Dalam mana-mana pertandingan nyanyian, hanya ada seorang yang perlu diiktiraf sebagai juara.

Andai ia dikongsi bersama, masih adakah nilai eksklusif yang dimiliki oleh seseorang penyanyi setelah berhempas pulas selama sebelas minggu berentap? (biasanya hanya ada lapan minggu tetapi berlaku pertambahan sebanyak tiga minggu).

Dalam situasi ‘dua juara’ ini, hanya ketiga-tiga juri profesional inilah yang boleh mengiyakan atau menidakkan sesuatu perkara.

Mungkin saja juri boleh membentangkan secara terperinci pemarkahan terhadap Naqiu dan Hady serta empat penyanyi lain yang berentap di pentas akhir GV6 agar tidak ada lagi desas-desus yang mengatakan juri dan pihak penganjur tidak telus dalam menentukan pemenang.

Jika hanya bersandarkan kepada persembahan ‘bagus’ seperti yang dipertahankan oleh Ramli MS sejak awal, sungguh ia adalah suatu perkara yang sukar untuk diukur.

Seni nyanyian itu bersifat subjektif, dan pandangan setiap yang mendengar juga berbeza-beza.

Kalau begitu, boleh saja Liza Hanim (naib juara) berkongsi kejuaraan bersama Aisyah di GV4 ketika menyanyikan lagu nyanyian asal Defam berjudul Supergirl dalam segmen battle.

Ini kerana, pada pendapat penulis hakikatnya kedua-dua penyanyi wanita itu sangat bagus!

Trofi sudah tersedia

Pada telahan penulis, penganjur dilihat begitu bijak mengatur langkah agar GV6 terus menjadi bahan bualan dalam kalangan umum.

Buktinya, jika ini bukan sebuah perancangan, sudah pasti trofi untuk sang juara tidak akan mencukupi kerana dua orang sekali gus diumumkan sebagai juara.

Tetapi, perkara luar biasa pula berlaku, apabila tiba-tiba Naqiu dan Hady berkongsi kejuaraan dan masing-masing menerima trofi yang sama pada malam yang melakar sejarah itu.

Namun, penganjur mempunyai alasan tersendiri. Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, trofi juara yang satu itu (sama ada dipegang oleh Naqiu atau Hady) adalah mock-up yang selalu digunakan untuk hal-hal berkaitan promosi.

Justeru, piala yang sebenar akan diberikan kepada pemenang selepas GV tamat. Mungkin, perkara ini masih boleh diterima akal.

Sekiranya keputusan juara bersama dibuat secara kebetulan, pasti trofi naib juara dipamerkan semasa pengumuman keputusan pemenang.

Jika ada, mungkin saja tidak ada yang mempersoalkan terma ‘kebetulan’ yang dicanang-canangkan oleh Ramli MS.

Pun begitu, jawapan itu sekali lagi menimbulkan tanda tanya apabila One Nation Emcees menerima empat buah trofi, kebetulan, kumpulan itu terdiri daripada empat orang ahli iaitu Mimy Fly, Jojoe Fly, Kozae dan Sabhi Saddi.

Adakah kedudukan setiap penyanyi ini sudah disusun sejak awal atau ia hanya suatu kebetulan? Jika iya, mungkin Astro sudah cukup hebat meramal masa depan sehingga memberikan keempat-empat trofi kepada mereka pada malam itu juga.

Percaturan GV6 terhadap Roy, Noorshila Amin dan Wann

Penyingkiran beberapa penyanyi sudah menjadi tradisi bagi mana-mana pertandingan, namun ia bukan kayu ukur dalam menentukan sama ada penyanyi itu bagus atau sebaliknya, cuma ada kalanya rezeki tidak memihak.

Penyingkiran Roy di minggu lapan dan Noorshila Amin serta Wann di pusingan separuh akhir GV6 memperlihatkan betapa bakat besar dan suara unik yang ada pada mereka seolah-olah dinafikan kemampuannya hanya kerana mereka ini ‘underdog’ dan kurang tarikan penonton - tidak seperti yang ‘satu’ itu.

Benar mereka ini berada di senarai bawah dalam setiap pemarkahan yang dijalankan. Namun seperti yang penulis sebutkan, sejauh mana ketelusan yang ada pada juri? Bayangkan jika Noorshila Amin bergelar finalis GV6. Bayangkan…

Selamatkan Wann dua kali, kali ketiga tersingkir jua

Wann, pernah berada di senarai paling bawah sebanyak dua kali ketika menyanyikan lagu yang dipopularkan Wany Hasrita berjudul Terlalu Memuja (minggu ketujuh) dan Hitam Putih Kehidupan nyanyian asal Sheila Majid (minggu kesembilan).

Bagi penulis, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Aku Dalam Teka Teki itu sudah boleh disingkirkan kerana persembahannya tidak bagus di mata juri. Namun, Wann masih terselamat. Adakah semua ini juga satu kebetulan?

Malah, Nurfatima juga pernah berada di senarai paling bawah di minggu kelima ketika menyanyikan lagu Can’t Fight The Moonlight (LiAnn Rimes) tetapi tiada penyingkiran.

Permainan yang dicatur oleh penganjur memang sukar diramal. Siapa tahu, mungkin saja Astro mahukan jumlah tontonan lebih dari negara Australia?

“Apa kehebatan Sham ada hingga sampai ke final?”

Dulu, juri Hetty, pernah mempersoalkan kehebatan yang dimiliki Wann sebelum penyanyi Bossanova itu disingkirkan di minggu sepuluh GV6.

“Apa kehebatan yang kamu ada sehingga kamu bisa pergi ke final?” kata Hetty.

Bagaimanalah perasaan Wann ketika itu. Justeru, tidak salah kiranya jika penulis pula mempersoalkan apa kehebatan yang ada pada Sham hingga dia boleh mara ke final?

Bukan apa, warganet berbondong-bondong menyatakan rasa tidak puas hati di ruang komen media sosial dan mengatakan bahawa Sham tidak layak ke pusingan akhir GV6.

Lebih teruk, ada yang mendakwa bahawa Sham telah menutup peluang penyanyi lain yang dikatakan lebih baik berbanding penyanyi lagu Dalam Gerimis itu.

Benar, di minggu separuh akhir GV6, Sham menyanyikan lagu berjudul Usang dengan baik dan mencatatkan markah berjumlah 60 peratus, ini secara tidak langsung meletakkannya tinggi sedikit berbanding Wann dan Noorshila Amin, namun Sham tetap masih berada di senarai tiga terbawah.

Tidak apalah, impian warganet yang mengharapkan Sham ini tersingkir sebelum menjejak ke pentas akhir GV6 tidak akan tercapai, ini kerana, jika disingkirkan, silap hari bulan ada pihak lain yang mogok tidak mahu menonton televisyen.

Walau apapun, inilah rancangan realiti. Jangan diambil serius kerana konsep hiburan sememangnya begitu.

Kemenangan semua peserta sama ada dirancang ataupun tidak, terserah kepada penonton untuk menilainya. Di pihak Astro sudah menjelaskan apa yang kabur di mata pihak lain.

Tidak dinafikan, Gegar Vaganza telah menaikkan semula nama penyanyi-penyanyi yang sekian lama menyepi.

Andai GV dilanjutkan, mungkin nama-nama penyanyi seperti Anis Suraya, Azie Mustapha, Mac Ruhayu, Deja Mos, Ruhil Amani, To’ki, Aris Ariwatan akan menyerikan lagi GV musim baharu akan datang.

Tahniah untuk semua pemenang GV6.


FADHLI SULAIMAN merupakan bekas wartawan pelatih Malaysiakini yang mengikuti perkembangan Gegar Vaganza sepanjang enam musim.