Menyumpah laknat: Antara nasib malang dan ajal Samnian
ULASAN | “Sesiapa pun yang telah membunuh perempuan itu, saya tidak terlibat. Saya tak buat. Saya berani bersumpah di hadapan Buddha besar.”
Tiga tahun sebelum cebisan tubuh hancur Altantuya ditemui pada 7 Nov 2006 di satu lokasi berdekatan Empangan Tasik Subang tengah rimbun hutan simpan Puncak Alam, Manop Udomdej dengan berani tampil menceritakan satu kisah yang dia filemkan secara sadis dan mengejutkan.
Manop - melalui The Macabre Case of Prompiram - bisa saja membuat anda kemurungan.
Termenung dan kembali merenung akan bait dialog Eliza dalam teater Pygmalion karya George Bernard Shaw yang mengungkapkan: “The difference between a lady and a flower girl is not how she behaves but how she’s treated.”
Kata-kata itu sungguh tidak menyenangkan. Hal itu kerana maksud pemikiran yang cuba disampaikan Shaw terasa dalam dan kelam.
Shaw seakan cuba memberi bayangan bahawa masyarakat - termasuk kalau datang dari perut dewa dan keluarga malaikat sekalipun - tidak akan terselamat daripada kebobrokan andainya mereka jahil menilai perbezaan.
The Macabre Case of Prompiram berhasil menjadi suatu karya yang autentik apabila jalan penceritaannya menghubungjalinkan nilai besar kemanusiaan dengan keutamaan elemen moral manusia yang dibincangkan secara halus.
Ia dilakukan dengan bersahaja, bukan dipaksa-paksakan.
Dijual ibu mentua sendiri
Hubungan sesama manusia, kepentingan diri dan kroni serta kewajiban terhadap keluarga, kenalan, masyarakat, negara dan tuhan dibentuk sebagai suatu wacana sebelum kemudian menjadi konflik yang sarat dengan segala macam kegilaan.
Kod-kod moral yang dibenamkan pada diri setiap karekter dan ditanam dalam setiap hela nafas penceritaan menjadikan penonton percaya bahawa pemerkosaan bukanlah jenayah berat yang harus dirunsingkan.
Sebaliknya ia adalah suatu norma yang wajar untuk diraikan seandainya ada kesempatan.
Konflik inilah yang perlu ditelan sewaktu menyaksikan perangai setiap watak dan perwatakan yang mengaku melakukan pemerperkosaan tapi tidaklah sampai menyebabkan kematian Samnian dalam The Macabre Case of Prompiram.
Nasib malang Samnian bermula sebaik si isteri beranak satu itu dipaksa turun dari kereta api yang dia naiki untuk menemui suaminya yang lama kabur ke Uttaradit.
Hidup Samnian memang malang lama sebelum dia menjejakkan kaki ke kereta api berkenaan. Sebelum itu, ibu mentua Samnian - mereka tinggal bersama, sebenarnya - menawarkan kepuasan hubungan seks kepada seorang pemandu lori sebagai ganjaran membawa wanita itu ke stesen kereta api.
Kemiskinan melampaulah yang membawa mereka memilih jalan berkenaan.
Akibat ketiadaan wang untuk membeli tiket kereta api bagi meneruskan perjalanan, Samnian akhirnya tersadai keseorangan di tengah kampung dalam kawasan Prompiram keseorangan.
Kekurangan karya sadis sebegini menjadikan manusia terus liar dan hidup di luar kesedaran. Kerana itu kita terus saban hari meraikan bermacam-macam marah dan benci, serta berjenis-jenis kekarutan.
Justeru ada yang tersihir dengan acara seperti sumpah laknat di masjid yang disambut dengan jeritan takbir beramai-ramai. Ia kemudian banyak membuang waktu dalam perbalahan.
Hal itu lebih kurang sama saja dengan keasyikan masyarakat berpolemik haru-biru membincangkan kesahihan akuan bersumpah seorang banduan yang sedang menunggu saat kematiannya.
Semua mahu ambil kesempatan
Pada dunia yang lain, pemerkosaan demi pemerkosaan dialami Samnian menyatukan beberapa jalur pemikiran. Realisme, romantisisme, klasisisme, absurdisme serta sadisme disusun elok dalam suatu bentuk yang rapi dipegang oleh elemen tradisional dan feudal sebagai tunjang latar yang menggerakkan idealisme penceritaan.
Sampai pada kemuncak ia membawa kita masuk ke dunia penuh gelap. Ia menyingkap lapis-lapis birai sistem kehidupan masyarakat yang memiliki kerangka sosial lengkap dengan resam sosiobudaya yang hampir sempurna, kemudian dengan mudah dibinasakan oleh sikap.
Hal inilah yang menjadi sumpah paling laknat dalam The Macabre Case Of Prompiram. Walau ada sumpah atas nama Buddha yang dilaung-laungkan, ia bukanlah prasyarat bagi sebuah kebenaran.
Di sana ada pegawai kereta api yang tidak punya hati dan perasaan. Ada ibu mentua yang sanggup menjual maruah menantu kerana benci memikul beban kemiskinan. Ada pegawai daerah, doktor klinik kesihatan dan ketua kampung yang tergamak bergilir-gilir melakukan perogolan hanya kerana peluang terhidang di depan mata.
Malah ada pak cik tukang mandi dan kebumikan mayat yang tak mahu ketinggalan memanafaatkan peluang memuaskan nafsu walau ia bernama pemerkosaan.
Sementara itu ahli parlimen terus leka berkempen memujuk masyarakat terus memilih dia yang menghadiahkan lambakan makanan dalam pesta-pesta hiburan sebagai umpan.
Sehingga di sana ada penarik beca, pelajar dan peniaga yang merupakan datuk, ayah, abang, anak dan adik seseorang, semuanya menyerahkan diri masing-masing kepada kebobrokan sampai jadi penyebab Samnian mati penuh penderitaan.
Hari ini manusia hidup dalam dunia yang penuh dengan kepalsuan. Penipuan yang jadi iman dan kepercayaan masyarakat telah menghancurkan ramai manusia sebagaimana Samnian yang berkali-kali dan bertubi-tubi diperkosa tanpa ada belas kasihan.
Kebencian terhadap tiga halaman tulisan Jawi, berita palsu yang disebar dan diraikan sebagai kebenaran yang wajib dipercayakan serta kemelut agama dan perkauman yang didalangi parti politik berkepentingan, segalanya adalah laknat kebobrokan yang hingga kini jadi sumpahan sebenar untuk kita.
Bait dialog Eliza dalam teater Pygmalion tadi perlu dihabiskan.
Ia diteruskan begini: “The difference between a lady and a flower girl is not how she behaves, but how she's treated. I shall always be a flower girl to Professor Higgins, because he always treats me as a flower girl, and always will; but I know I can be a lady to you, because you always treat me as a lady, and always will.”
Moga sumpah laknat yang ditakbir-takbirkan itu berhasil kita sertu agar Altantuya dan Samnian tak perlu menunggu dunia hancur untuk mendapatkan keadilan.
HARIS HAUZAH ialah penulis gagal yang tidak pernah menghasilkan apa-apa buku, cuma banyak menghabiskan usia di Bukit Bintang sambil menulis sajak dengan harapan apabila dia mati nanti, ada yang bertanya: Haris Hauzah ini siapa sebenarnya?
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai