Skip to main
Logo Malaysiakini

'Walau patah tulang rusuk, aku boleh tahan bisa ini'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

"Bagi yang mengerti, wang bukanlah segala-galanya, perjuangan berpuluh-puluh tahun tidak dapat dibeli dengan wang ringgit," demikian kata penyanyi Bumi Putra Rockers atau BPR, Joey mengenai pendapatan tidak seberapa diterimanya selepas mengadakan sebuah konsert tahun lalu.

Sebaliknya, menurut Joey, sesebuah persahabatan dianggap lebih utama berbanding wang yang diperolehinya itu.

"Selagi ada tangan dan kaki, selagi masih boleh berdiri, aku takkan mengemis selagi boleh mencari rezeki yang halal.

"Walaupun patah tulang rusuk namun aku boleh menahan bisa ini. Membantu rakan yang lebih memerlukan," katanya di media sosial.

Mengiringi hantaran tersebut, Joey memuat naik imej penyata kira-kira memaparkan imej yang mencatatkan jumlah RM666 - dengan tulisan sendiri - selepas menolak untung bersih secara keseluruhan pendapatan diterimanya.

BPR sebelum ini terbabit dalam menjayakan Konsert Jelajah 1,000 Tahun Takkan Mungkin BPR di Roof Top, City Plaza, Johor Bahru pada 28 Disember lalu.

Memetik laporan Harian Metro, RM666 itu adalah jumlah pendapatan bersih yang diperolehi Joey selepas dia menerima bayaran sebanyak RM1,000 untuk persembahan tersebut.

Jumlah itu diperoleh selepas menolak antaranya kos penginapan hotel berserta jumlah beberapa perkara lain yang tidak diperincikan.

"Saya sengaja muat naik penyata bayaran itu di Facebook supaya orang faham keadaan sebenar industri muzik sekarang.

"Itulah sebabnya ramai pemuzik jadi seniman jalanan (busking). Sejak awal lagi saya jangka kutipan tiket konsert ini rendah.

"Banyak perkara di luar jangkaan berlaku seperti penginapan yang mulanya ada penaja, tapi berlaku masalah hingga akhirnya kami terpaksa cari hotel murah berdekatan lokasi konsert," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Joey menganggap konsert terbabit lebih kepada membantu pemain dram mereka, Enal yang mengalami masalah jantung.

“Saya simpati dengan Enal. Dia tinggal di tingkat atas pangsapuri yang tiada kemudahan lif. Ramai pemain dram handalan tawar diri untuk menggantikan tempatnya tapi kami menolak kerana tak mampu nak bayar.

"Kami bersyukur kerana kutipan derma untuk Enal yang dibuat ketika konsert itu sebanyak RM1,005. Terima kasih buat rockers Johor yang baik hati," katanya.

Enal atau nama sebenarnya Raja Zainal Abidin Raja Hasnan, 58, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh akibat serangan jantung, Disember lalu.

Joey berkata, kos ambulans untuk membawa Enal pulang ke Johor pula mencecah lebih RM3,000.

Selain itu, katanya, pada masa sama konsert berkenaan juga diadakan untuk menghiburkan peminat setia BPR.

Bagaimanapun, memandangkan tempat konsert yang dianjurkan kecil, tiket hanya boleh ditawarkan dengan harga murah.

"Kami juga kena bayar kumpulan undangan. Itu pun kami menggunakan sistem bunyi murah. Kalau tidak, mungkin kami tak bergaji langsung.

"Apapun kami buat konsert ini kerana nak kekalkan nama BPR dan bukan kerana cari duit sangat. Saya selalu cakap hidup segan, mati tak mahu. Lagipun BPR bukan orang kaya. Dapat pendapatan seribu dua pun di kira banyak juga," katanya.

Difahamkan, anggota lain kumpulan yang meledak dengan lagu Seribu Tahun Takkan Mungkin, Aku Hanya Serangga, Harum Subur Di Hati dan Dari Sinar Mata pada era 1980-an dan 1990-an itu turut menerima jumlah bayaran lebih kurang sama.

Selain Joey dan Enal, BPR turut dianggotai Awang (gitar) dan Yem Bai (bass).