Skip to main
Logo Malaysiakini

'Jangan cemburu bila keluar dengan mana-mana datuk'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sekalipun tidak terburu-buru mencari pengganti, penyanyi Ezylnn mengaku dia kini agak selektif berhubung soal mencari pendamping hidupnya.

Ezylnn berkata, kriteria calon yang bakal mengisi kekosongan hatinya perlu bersesuaian dengan hala tuju hasratnya yang ingin memajukan perniagaan yang sedang giat diusahakan.

Justeru, katanya, teman hidup yang bakal dipilih itu nanti juga haruslah seseorang yang tidak kuat cemburu buta.

“Buat masa ni saya tengah fokus pasal perniagaan. Jika nak memilih tu, saya kena cari yang tak kuat cemburu. Nanti ada yang merajuk, sentap-sentap ni susah.

“Seboleh-bolehnya memanglah nak jenis yang memahami. Jangan si dia cemburu pula jika kena keluar uruskan hal perniagaan dengan mana-mana datuk misalnya,” katanya.

Ezylnn ditemui pada sidang media pelancaran TT Live Mall di sebuah hotel di Kuala Lumpur, semalam.

Penyanyi lagu Hi Hi Bye Bye itu sebelum ini bercerai talak talak satu selepas enam tahun mendirikan rumah tangga dengan Adam Fahmy.

Mereka yang diijabkabulkan pada 21 November 2011 itu tidak dikurniakan cahaya mata sepanjang perkahwinan tersebut.

Bagaimanapun, ditanya hasratnya untuk segera menamatkan status jandanya, Ezylnn tetap memberikan jawapan positif.

“Kalau Allah dah tetapkan jodoh tu datang esok, esok jugalah saya nak… cuma sekarang saya lebih selesa untuk fokus dalam karier,” katanya.

Kata pemilik nama sebenar Azline Ariffin itu, dia tidak menutup ruang untuk mana-mana lelaki yang berhasrat ingin berkawan dengannya selain pada masa sama berkongsi idea perniagaan.

“Jika berkawan kami boleh berkongsi hal-hal perniagaan. Tapi jika betul memang dialah orangnya (bakal suami), hati tu akan terdetik,” katanya.

Sementara itu, mengulas berkenaan TT Live Mall, Ezlynn, 37, berkata, ia adalah sebuah platform perniagaan yang mempromosi produk melalui media sosial.

Katanya, barangan jualan tersebut akan dipromosi dan dijual secara langsung oleh influencer atau personaliti yang dilantik.

“Perniagaan ni tak perlu modal permulaan dan tak ada risiko kerugian.

"Usahawan bebas memilih untuk mempromosi atau menjual barangan yang tersedia di TT Live Group Sdn Bhd atau barangan sendiri," katanya.