Skip to main
Logo Malaysiakini

MDEC terus sokong penerbitan filem animasi bertaraf global

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan terus menyokong syarikat-syarikat tempatan yang berprestasi cemerlang, dalam menerbitkan filem animasi bertaraf global.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri berkata, sokongan berterusan berkenaan bukan sahaja untuk memastikan syarikat cemerlang tempatan itu muncul sebagai juara global, tetapi juga kerana industri animasi turut menyumbang kepada ekonomi digital negara.

“Sokongan padu diberikan kerajaan menerusi MDEC kepada Les' Copaque serta filem-filem animasi terbitan lain, seperti Ejen Ali dan ‘Boboiboy Movie’ adalah selaras dengan polisi menyokong industri animasi tempatan yang turut menyumbang kepada ekonomi digital negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, MDEC bersama-sama dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, kini dalam usaha merealisasikan dasar Ekosistem dan Kandungan Digital (DiCE) bagi menjadikan Malaysia sebagai hab industri pembuatan kandungan digital di rantau ini.

Menurutnya dasar berkenaan juga akan menjadi platform kepada bakat tempatan mengasah kreativiti serta mempercepatkan pengkomersialan kandungan digital, mencapai kualiti global.

Sementara itu, Surina berkata, MDEC tetap berbangga dengan prestasi cemerlang filem animasi tempatan, Upin & Ipin; Keris Siamang Tunggal, yang berjaya menjadi 32 calon akhir bagi kategori filem animasi terbaik, Anugerah Akademi 2020 atau Oscars 2020.

Meskipun hasrat untuk muncul sebagai lima calon akhir bagi kategori filem animasi anugerah tersebut tidak kesampaian, filem ini telah membuka laluan kepada animasi tempatan untuk ke peringkat tertinggi, apabila menjadi filem animasi pertama negara dinilai juri, untuk anugerah yang akan berlangsung pada 24 Feb di Los Angeles, Amerika Syarikat itu, katanya.

“MDEC berbesar hati kerana dapat membantu syarikat-syarikat tempatan ini berkembang dan seterusnya menjadi jaguh pada peringkat global, seperti penglibatan dalam penghasilan filem animasi Upin & Ipin; Keris Siamang Tunggal yang menjadi kebanggaan negara.

"Sokongan ini akan berterusan bagi mengembangkan pemain industri animasi tempatan dan seterusnya mengukuhkan reputasi Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN,” jelasnya.

Katanya kerajaan menerusi Belanjawan 2020 telah memperuntukkan RM20 juta kepada MDEC, bagi membantu memupuk jaguh tempatan menghasilkan karya digital bertaraf global.

- Bernama