Skip to main
Logo Malaysiakini

67 karya berentap dalam Festival Filem Malaysia ke-31

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sebanyak 67 filem bakal berentap dalam 32 kategori yang dipertandingkan di Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) yang dijadual berlangsung pada 18 April ini.

Ia dimaklumkan oleh Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Hans Isaac ketika sidang media di Finas, Kuala Lumpur hari ini.

“Sebanyak 35 karya adalah filem Bahasa Melayu, Mandarin & Kantonis (15), Tamil (12) dan lain-lain (1),” katanya.

"Hajat juga besar kali ni, kami ingin melakukan sesuatu yang berbeza.

"Seperti yang diketahui, banyak filem berjaya pecah panggung tahun lalu. Ramai penggiat industri kreatif berjaya ke peringkat antarabangsa, filem Malaysia turut membolosi pencalonan di Anugerah Oscar tahun ini," katanya lagi.

FFM31 mengangkat tema Inspirasi Sinemaku: Tanpa Sempadan.

Majlis perasmian akan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 9 April depan, jam 9 malam, dan disiarkan secara langsung di RTM.

Acara kemuncak pula akan diadakan di Encore Melaka.

Sebanyak empat kategori yang kembali dipertandingkan iaitu Dokumentari Terbaik, Filem Pendek Terbaik, Filem Cereka Animasi Terbaik dan Filem Digital Terbaik.

FFM kali ini juga memperkenalkan satu kategori baru iaitu Tatarias Terbaik.

Dalam pada itu, Hans, 48 berkata Finas menyasarkan lebih banyak filem tempatan untuk menembusi pasaran antarabangsa pada tahun ini.

“Nak cakap dan kritik senang, tetapi bukan mudah mahu memasarkan filem tempatan ke luar negara.

"Kami memerlukan sokongan semua bahagian penggiat industri kreatif. Kami mahu bersikap adil dan memberi peluang kepada penggiat seni," katanya.