Skip to main
Logo Malaysiakini

Fathia Latiff: Saya tak pernah alami masalah mental

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Enggan mengulangi kesilapan lalu, pelakon dan penyanyi, Fathia Latiff kembali mewarnai dunia seni dengan imej baru sempena tahun 2020.

Kata Fathia, tahun ini diharapkan dapat memberi sinar baru untuknya terus berada dalam industri selain berazam untuk mengawal diri agar tidak terpalit dengan kontroversi lagi.

Mengaku menyesal dengan setiap perbuatannya sebelum ini, Fathia bagaimanapun menafikan bahawa tindak-tanduknya itu mempunyai kaitan dengan masalah mental.

“Saya tak pernah mengalami masalah mental. Cuma saya terpaksa berdepan beberapa hal peribadi hingga menyebabkan saya tampil dengan perkara bodoh di media sosial.

“Kontroversi biasa berlaku dalam kalangan selebriti. Tapi perkara ni langsung tak ada kaitan dengan sakit mental,” katanya.

Fathia berkata demikian pada sidang media pelancaran single terbarunya, Jika Aku Tahu di ibu pejabat syarikat pengurusan Inditigal Music di Mutiara Damansara, Selangor semalam.

Tahun lalu, pemilik nama penuh Nur Fathia Abdul Latiff mengundang perhatian umum apabila memuat naik imejnya tidak bertudung di media sosial.

Pelakon filem Darah Panas itu kemudian menjelaskan kepada media bahawa dia enggan berpura-pura menutup aurat malah sudah lama memikirkan untuk membuka tudung.

Belum reda kontroversi membuka tudung, Fathia, 32, berkongsi pula imejnya dicium seorang lelaki - juga di media sosial - sebagai provokasi kepada netizen yang mengecam penampilan terbarunya itu.

Demi menebus kesilapan lama, Fathia mengakui dia sedang giat berusaha melakukan perubahan sebaik mungkin.

Namun, katanya, perubahan tersebut tidak boleh dilakukan secara mendadak.

“Saya harap tahun ni akan berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Saya tak mahu urusan peribadi dan kerjaya bercampur-aduk.

“Tapi, terus-terang saya katakan, bahawa saya masih belajar mengawal untuk asingkan kedua-dua perkara tersebut,” katanya.

Sementara itu, mengulas berkenaan lagu Jika Aku Tahu, Fathia berkata, lagu itu dihasilkan bagi mengingati kasih sayangnya terhadap arwah datuknya yang meninggal dunia tiga tahun lalu.

Enggan berkongsi nama datuknya, Fathia berkata, arwah sering menyanyikan lagu itu untuknya.