Skip to main
Logo Malaysiakini

Ayie Floor88: Hanya orang bodoh buat gimik depan raja

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Vokalis band Floor88, Ayie Helzam berkata, hanya "orang bodoh” sanggup melakukan gimik rebah sewaktu melakukan persembahan sempena menyambut hari keputeraan raja.

Ayie berkata demikian sebagai menyelar segelintir pihak yang mendakwa dia cuma berpura-pura pitam semasa mengadakan persembahan sehingga terpaksa dipapah keluar dari pentas.

“Macam mana boleh kata gimik, itu majlis hari jadi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, hanya orang bodoh buat gimik depan raja.

“Selain ikut protokol, kita juga perlu pamerkan sikap hormat walaupun sebagai penghibur. Kalau betul pun nak buat gimik, boleh buat di tempat lain,” katanya.

Pada masa sama Ayie, 21, turut menafikan dia membuat gimik tersebut sempena lagu baru band itu yang bakal hadir tidak lama lagi.

“Ni bukan gimik sebab nak lancar single baru,” katanya ketika ditemui pada majlis Era Digital Music Awards (EDMA) di Petaling Jaya malam tadi.

Kumpulan Floor88 hadir sebagai antara penghibur bagi memeriahkan malam anugerah EDMA yang berlangsung itu, namun tempat vokalis diganti penyanyi Sarah Suhairi bagi memberi ruang Ayie pulih sepenuhnya.

Ada masalah tekak

Terdahulu, rakaman video tular di Internet memaparkan Ayie - atau nama penuhnya Nik Fadlee Elhamshah - rebah akibat pitam mengundang perhatian umum.

Kejadian berlaku sewaktu Konsert Gempak Negerifm bersempena Hari Keputeraan ke-72 Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz Tuanku Munawir sedang berlangsung.

Acara tersebut diadakan di Seri Menanti, Negeri Sembilan, pada 14 Jan lalu

Mengulas lanjut, penyanyi lagu Roadblock Hatiku itu berkata, kejadian berlaku ekoran dia mengalami masalah dehidrasi dan kurang rehat.

“Dua minggu sebelum sudah ada masalah tekak yang berpunca daripada kurang air dalam badan.

"Doktor nasihatkan agar berehat seminggu dua, tapi disebabkan jadual kami padat, saya teruskan juga aktiviti persembahan.

“Saya paksa diri menyanyi lagu pertama daripada empat lagu yang sepatutnya dipersembahkan, tapi manusia ada batasan, kepala terus berdenyut dan kemudian saya hanya nampak semuanya hitam...,” katanya.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Ayie pitam. Sebelum ini dia pernah mengalami insiden sama sewaktu di sebuah studio.

Mengulas lanjut, Ayie berkata, dia akhirnya bersetuju untuk mendapatkan rawatan susulan dan berjumpa pakar bagi memeriksa status kesihatan dirinya agar perkara sama tidak berulang.

Bagaimanapun, menurutnya, hal itu bukan semudah disangkakan kerana dia sebenarnya seorang yang takut apabila perlu berjumpa doktor.

“Ada rancang nak berjumpa pakar tapi masih tak buat-buat juga sebab memang sifat penakut tu ada.

"Tapi saya perlu penuhi permintaan pihak pengurusan dan keluarga yang risau dengan keadaan saya,” katanya.