Skip to main
Logo Malaysiakini

Elly Mazlein sah bersuamikan guru Geografi

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Penyanyi dan pelakon Elly Mazlein selamat diijabkabulkan dengan seorang guru subjek Geografi, Mohamad Azlan Che Nuh, dengan sekali lafaz tepat jam 9.09 malam, hari ini.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, dan Azlan, dinikahkan oleh bapa Elly, Syed Hanafi Syed Abdullah dengan disaksikan Kadi, Ustaz Mejar Mohd Nizam Datuk Tarmizi.

Pada majlis yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu, pihak lelaki memberikan mas kahwin seutas gelang tangan emas bersama lima dulang hantaran antaranya cincin pernikahan, seutas gelang tangan emas, seutas rantai emas dan senaskhah al-Quran.

Sinar Harian melaporkan pihak perempuan membalas tujuh dulang hantaran terdiri daripada barang berjenama iaitu sebentuk cincin, sebuah beg tangan, sebuah beg dompet, sebuah beg, seutas tali pinggang, topi keledar dan sepasang kasut.

Terdahulu, Elly atau panggilan mesranya Kak Lina Pom Pom mengotakan janjinya untuk mendedahkan wajah Azlan, 29, dalam satu majlis berinai yang berlangsung di Dewan Tun Dr Ismail PWTC malam tadi.

Penyanyi Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan itu berbuat demikian sewaktu majlis pertunangan mereka yang berlangsung pada 17 Disember lalu.

Pelakon drama bersiri popular Kampung People itu juga turut berkongsi wajah terkini anak perempuannya, Putri Sara Sefhia, 4, pada majlis itu.

Sephia adalah cahaya mata hasil perkongsian hidup Elly, 38, dengan pengarah drama, Azmi Hatta.

Elly dan Azmi bernikah pada 9 November 2014, namun bercerai pada 15 Oktober 2015.