Skip to main
Logo Malaysiakini

Dina pernah kemurungan akibat putus cinta

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Penyanyi, pengacara, dan penyampai radio, Dina Nadzir, berkata, seseorang yang mengalami masalah kemurungan boleh membantu diri sendiri dengan memilih pendekatan sewajarnya, antaranya meluahkan perasaan dipendam.

Kata Dina, tiada guna memendam perasaan sendirian berbanding memilih individu boleh dipercayai untuk meringankan beban ditanggung dengan berkongsi masalah dialami bagi mengelak tekanan jiwa.

“Kalau kita simpan tak ada gunanya pun. Masalah kemurungan datang bila kita tahu sesuatu perkara tu salah tapi tetap nak buat juga,” katanya.

Dina ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta SSklinic di sebuah kompleks beli-belah di Damansara Utama, Petaling Jaya baru-baru ini.

Dina yang juga pelakon itu berkata, dia berkongsi pengalaman tersebut kerana dirinya pernah mengalami masalah kemurungan sekitar 2009 akibat putus cinta.

Menurut Dina atau nama penuhnya Faradina Mohd Nadzir itu, masalah mental dialami turut menyebabkan dia mengubah penampilannya secara drastik.

“Masalah tu terbawa-bawa, ia mengakibatkan saya tak nak pakai baju berwarna selain hitam dan mewarnakan rambut dengan warna merah serta tak nak makan.

“Percintaan kami berakhir dengan cara tak baik, ia mencetuskan kemurungan disebabkan saya biasa ada tempat nak mengadu, tapi tiba-tiba dia dah tak ada.

“Sebenarnya, masalah tak semestinya hanya luahkan pada teman lelaki, boleh saja nak bercerita pada kawan-kawan atau anggota keluarga yang boleh dipercayai,” katanya.

Namun, kata Dina, 34, dia bersyukur apabila berupaya bangkit semula untuk meneruskan kehidupannya dengan lebih baik selepas mendapat semangat baru.

“Saya belajar untuk tanam sikap positif dengan sayangi diri sendiri dan pada masa sama memohon maaf pada orang lain. Bila buat demikian, rasa lebih lega sebab beban tu dah tak ada,” katanya.

Sementara itu, mengulas pembabitannya sebagai duta di SSKlinic, Dina berkata, sudah sampai masanya dia memberi fokus kepada kesihatan secara menyeluruh sempena azam tahun baru.

Menurutnya, dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak 6 kilogram dalam tempoh empat minggu tanpa perlu melalui pembedahan yang menakutkan.

“Selepas 16 tahun jadi penghibur, ni kali pertama dipilih sebagai duta. Saya idamkan untuk jadi cantik dan perbaiki diri selagi termampu demi kesihatan.

“Selepas melalui program ditawarkan, pergerakkan kaki saya tidak lagi terbatas selain lutut dah tak sakit bila menaiki tangga,” katanya.