Skip to main
Logo Malaysiakini

Dianggap belum layak, Khai Bahar sedia dikritik

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penyanyi Khai Bahar mengaku tidak terjejas dengan kemungkinan dikritik belum layak membuat persembahan di pentas bertaraf antarabangsa, Istana Budaya pada 27 dan 28 Mac depan.

Katanya, semua penyanyi tempatan berhak diberi ruang untuk mengadakan konsert di pentas berprestij itu.

“Saya tak mahu terlalu fikir perkara itu. Jika ada yang tak berpuas hati saya terima, dan anggap ia sudah menjadi lumrah. Bagi saya, ni adalah peluang yang tidak harus dilepaskan begitu saja.

“Sesiapa saja berhak dapat apa yang saya dapat hari ini. Memang setiap penyanyi berangan-angan nak buat konsert di sini, begitu juga saya.

“Saya tak dapat bayangkan bagaimana perasaan ini walaupun sedar masih boleh dikatakan baru dalam industri,” katanya ketika ditemui di majlis pengumuman Konsert Khai Bahar: Dari Smule Ke Pentas Dunia di Istana Budaya, Kuala Lumpur semalam.

Lahir pada 28 Februari 1994, pemilik nama sebenar Muhammad Khairul Baharuddin itu mula mencipta nama selepas nyanyiannya melalui lagu Sudah Ku Tahu, nyanyian asal Projector Band, di aplikasi Smule tular.

Sepanjang tiga tahun pembabitannya di persada seni tempatan, Khai telah mendapat pelbagai anugerah, antaranya di Anugerah Planet Muzik 2017 di Singapura tahun lalu, di mana dia menang kategori Artis Paling Popular dan Lagu Paling Popular melalui Bayang.

Selain itu, Bayang yang merupakan single sulungnya berjaya mara ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-32, manakala Luluh pada AJL ke-33.

Mengulas lanjut, Khai berkata dia bertuah kerana dilamar produksi Ogy Ventures, milik pelakon dan pengarah terkenal Ogy Ahmad Daud, untuk mengadakan konsert di Istana Budaya.

“Kak Ogy mempunyai nama yang sangat besar, dia dikenali kerana kehebatannya sebagai pengarah, penerbit dan juga pelakon.

“Justeru, saya sangat bersyukur kerana dapat bekerjasama dengan kak Ogy selain dapat menimba ilmu mengenai persembahan dengannya.

“Mungkin dengan ketegasan kak Ogy, saya dapat menjadi lebih baik khususnya dari segi kematangan, nyanyian dan juga kemahiran berinteraksi dengan penonton,” katanya lagi.