Skip to main
Logo Malaysiakini

Pak Non perjuang seni wau tradisional di Perlis

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Minat mendalam terhadap wau sejak dari zaman kanak-kanak memberi semangat kepada Samad Man untuk terus mengangkat seni membuat wau tradisional walaupun telah berusia 73 tahun

Samad, lebih mesra dengan panggilan Pak Non bukan satu nama asing dalam pembuatan wau negara, malah beliau telah mendapat pengiktirafan sebagai Adiguru Kraf Wau oleh Kraftangan Malaysia pada tahun 2018.

Anak kelahiran Kampung Tok Kaya, Kuala Perlis itu berkata beliau mempelajari ilmu membuat wau daripada seorang tokoh pembuat wau di Kelantan, Yusof Omar kira-kira 40 tahun lalu di Pengkalan Chepa, Kelantan.

“Wau telah sebati dalam hidup saya sejak dari usia kanak-kanak, selagi masih sihat dan mata masih ‘cerah’… Pak Non akan terus buat wau kerana ia bukan hanya memberi kepuasan peribadi sebaliknya Pak Non anggapnya sebagai satu tanggungjawab yang harus terus dipertahankan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Samad berkata kualiti wau terletak pada jenis buluh yang digunakan dan beliau lebih gemar mengunakan Buluh Duri kerana ia tahan lama dan lebih anjal.

“Kalau di Kelantan, pembuat Wau di sana lebih gemar mengunakan Buluh Betung tapi Pak Non lebih suka guna Buluh Duri kerana ianya lebih mudah diperolehi di sini (Perlis),” katanya sambil meraut dengan teliti batang buluh sebesar jari kepada bentuk lidi.

Katanya proses membuat wau adalah memilih buluh yang baik yang dipotong mengikut ukuran dikehendaki, kemudian direndam dengan air selama tiga hingga empat hari sebelum dijemur sehingga kering.

“Jika ingin hasilkan wau untuk pertandingan… buluh perlu direndam dengan air garam selama setahun dan ianya dijemur hingga kering bagi mematikan urat buluh agar lebih ringgan dan anjal,” katanya sambil meletakkan buluh yang telah diraut di atas jari bagi melihat tahap keseimbangan buluh tersebut.

Beliau berkata wau yang baik adalah wau yang seimbang di bahagian tulang belakang dan rangkanya.

“Bagi Pak Non kehebatan wau diukur seperti sebuah kereta… kereta yang baik bukan hanya cantik tapi perlu ‘pick up’ dan tidak lembab, begitu juga wau bukan hanya cantik dipandang sebaliknya mampu terbang dengan baik dan tulang belakang dan badannya perlu anjal agar dapat terbang dengan cantik,” katanya sambil mengikat lidi buluh pada tulang belakang wau menguna benang kapas.

Bapa kepada lima orang anak dan mempunyai sepuluh orang cucu itu berkata beliau mengambil masa dua minggu hingga sebulan untuk menyiapkan satu wau dan ia bergantung kepada jenis, saiz dan ukiran hiasan pada wau yang ditempah.

“Kalau buat wau biasa… Pak Non boleh siapkan dalam masa satu hari tetapi mengambil masa yang agak lama untuk hasilkan wau yang mempunyai ukiran,” katanya sambil menunjukkan Wau Bulan yang dihasilkan olehnya.

Samad berkata terdapat tiga jenis wau yang popular di negara ini iaitu Wau bulan, Wau Kucing dan Wau Jala Budi yang juga dikenali sebagai Wau Malaysia.

Katanya jenis wau berbeza setiap negeri dengan Wau Puyuh di Kelantan, Wau Kapal di Selangor dan Wau Lang di Perlis.

“Wau Lang direka berdasarkan keunikan burung helang dan ianya merupakan wau tradisional yang menjadi lambang kemegahan rakyat Perlis,” katanya.

Beliau berkata wau semakin diminati oleh rakyat negeri Perlis berikutan pertandingan wau yang sering diadakan di negeri ini ketika musin angin timur iaitu dari bulan Disember hingga Mac.

Samad mula aktif menghasilkan wau sejak 1972 dan hasil karya beliau pernah mendapat tempat di Istana Arau, Perlis dan menjadi simbol kepada sebuah syarikat penerbangan negara.

Hasil kerja tangan beliau juga pernah dipamer di luar negara antaranya di World Sport Cultural And Festival di Busan, Korea Selatan pada 2008 dan World Expo di Shanghai, China pada tahun 2010.

- Bernama