Skip to main
Logo Malaysiakini

Berbogel demi panik

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Sebelum virus-virus haiwan bermutasi dan berinteraksi sesama sendiri lalu mengancam dunia dengan risiko kematian, manusia terlebih dulu lebur dalam lubang erti dan liang makna sebenar sebuah kehidupan.

Kehidupan manusia sudah dimusnahkan oleh sejenis wabak lebih bahaya dan ia bukannya berpunca daripada kelawar, babi mahupun unta. Akan tetapi ia berpunca dari dalam diri manusia.

Pada suatu masa dulu - sekitar abad ke-18, sebelum timbulnya Revolusi Perancis serta segala macam gerakan pembaharuan - Eropah dan kota Paris hanyalah suatu daerah yang penuh dengan segala macam kekotoran.

Kemiskinan, penindasan, perhambaan, malah seribu satu kemelut kemanusiaan dan moral yang menjadi lumrah dalam kehidupan seharian mereka.

Wabak seperti taun, misalnya, pernah menjadi epidemik di seluruh kota Paris sehingga menyebabkan ribuan nyawa terkorban. Ilmuan perubatan kebingungan untuk menguruskan masalah itu. Maka ramai penduduk kota Paris terlantar malah mati tanpa sempat mendapatkan rawatan.

Menurut satu kajian yang dilakukan oleh seorang ahli kimia zaman Pencerahan bernama Antoine Lavoisier, penduduk Paris gemar membelanjakan wang mereka untuk daging sebagaimana banyaknya mereka menghabiskan wang mereka kepada roti setiap hari.

Perkara tersebut telah membuatkan pasar-pasar di segenap kota Paris menjadi begitu sibuk dan padat. Kedai-kedai ikan dan daging menyembelih daging haiwan hanya di laman kedai.

Masalah pengairan dan perparitan air bersih yang tidak pernah selesai menjadikan Paris - khususnya pasar-pasar di kota itu - jadi amat menjijikkan.

Bangkai ikan dan darah binatang sembelihan kemudianya mengalir ke seluruh pelusuk jalan sehingga bau kekotoran menjadi sesuatu yang biasa.

Di situlah munculnya Jean Baptiste Grenouille yang lahir di bawah meja menjual daging dan ikan. Ia hadir dengan suatu anugerah yang tidak dimiliki oleh mana-mana orang sembarangan.

Keterdesakan hidup

Ibunya dihukum bunuh sebaik dia dilahirkan kerana dituduh melakukan pengabaian dan cubaan membunuh Grenouille setelah bayi itu baru dilahirkan.

Membesar di rumah anak yatim dengan bakat semula jadi berkenaan bau pada awalnya tidaklah menimbulkan apa-apa kemusykilan. Malah setelah dia menjadi remaja dan lebih bersemangat untuk meneroka, bakat luar biasa yang dimilikinya itu amat mengujakan.

Grenouille kemudian bertemu dengan Giuseppe Baldini iaitu pencipta dan pemilik sebuah kedai wangian. Baldini sedang bergelut dengan zaman suramnya.

Dia mahu mengembalikan reputasinya melalui ciptaan wangi-wangian terbaru namun keterdesakan hidup memaksa dia hidup dalam bangunan rumah kedai yang serba usang.

Situasi kelam perniagaan Baldini itu menjadi rahmat buat Grenouille selepas dia berhasil meyakinkan lelaki Itali terbabit tentang bakat semulajadinya. Baldini kemudian menjadikan Grenouille sebagai perantis sehingga dia berhasil mendapat banyak ilmu tentang “perfume” atau wangian.

Naluri jiwa dan perasaan yang bercampur baur - dengan antara nafsu dan keinginannya selama ini - berhasil diluahkan melalui penciptaan setelah dia diperkenalkan dengan kaedah penghasilan melalui eksperimen dan ujian wangian.

Kisah Grenouille dalam sebuah filem hasilan 2006 oleh seorang pengarah Jerman bernama Tom Tykwer itu merupakan antara filem Jerman yang paling mahal pernah dihasilkan.

Ia adalah suatu cubaan sukar mengadaptasi novel tulisan Patrick Suskind berjudul Das Parfum: Die Geschichte eines Morders Diogenes yang membawa maksud Perfume: The Story of a Murderer.

Baldini malangnya mati dalam sebuah tragedi runtuhan bangunan. Namun kisah perjalanan surealistik Grenouille dalam Perfume: The Story of a Murderer belum mati. Dia melanjutkan lagi ilmu yang tidak mampu diajar Baldini di Grasse, sebuah bandar sejarah dan seni yang dianggap sebagai ibu kota dunia bagi wangi-wangian.

Di sana Grenouille bekerja di sebuah kilang pewangi ternama. Kesempatan itu memberikan dia akses sepenuhnya kepada apa yang diingininya sejak zaman kakan-kanak lagi - menghasilkan suatu haruman yang dapat mewangikan kehidupan selama-lamanya.

Grenouille kemudian menemui cara menghasilkan wangian dengan daripada badan perempuan. Justeru kegiatannya itu membawa kepada beberapa siri pembunuhan.

Peristiwa kematian demi kematian di bandar Grasse mengakibatkan kepanikan. Perintah berkurung yang tergesa-gesa didesak untuk dikeluarkan ketika pedagang dan pentadbir berdepan konflik di kota yang menjadi pusat ternama penghasilan wangian itu.

Panik membuta tuli

Pentadbir berdepan dilema sama ada mahu menurut kehendak elitis ekonomi atau berdepan kesan pada sektor ekonomi akibat proses penghasilan pewangi - seperti kerja-kerja mengutip pelbagai bunga -terjejas.

Konflik status quo seumpama itu memang kes klasik dalam apa jua abad atau zaman. Namun apa yang lebih menarik untuk diperkatakan ialah tentang ketaasuban manusia dengan sifat panik.

Panik menyebabkan resah masyarakat berubah dengan drastik menjadi kekalutan yang parah.

Ia malah boleh menyebabkan seorang bapa menjadi kurang siuman, dan seorang nenek sewenang-wenangnya menyebarkan apa saja perkhabaran yang diterima tanpa perlu berusaha sedikit untuk menyelidik bagi mencari kebenaran atau kesahihan di sebalik maklumat itu.

Kemuncak tragis dalam kisah hidup Grenouille dalam Perfume: The Story of a Murderer itu bukanlah peristiwa akhirnya tertangkap lalu disabitkan bersalah dan segera diheret menjalani hukuman mati di hadapan paderi, teknokrat, kapitalis dan seluruh masyarakat awam yang kemaruk panik.

Sebaliknya tragis dalam kisah Grenouille itu ialah sikap panik yang membuta tuli sehingga seseorang itu menjadi pentaasub kepada bermacam jenis berita bohong dan kepalsuan.

Masyarakat segera hilang rasa malu hingga tidak peduli untuk menjadi semberono 'bertelanjang' selepas menanggalkan pakaian moral serta dan perhiasan kemanusiaan masing-masing.

Mereka berbogel akibat teruja sekali gus bebal kepada 'wangian' bernama kepanikan.

Kebodohan itu menjadi haruman yang melemahkan sehingga kita semua tidak lagi berupaya melihat realiti. Itulah yang berlaku dalam filem indah tadi.

Grenouille berhasil mendapatkan apa yang selama ini diinginkan. Dia berjaya menghasilkan suatu adikarya yang menyihir seluruh bandar dengan kepanikan sehingga sanggup melakukan dosa yang lebih bahaya daripada wangian Grenouille.

Apa yang terjadi kini adalah kita akan mengenang dosa daripada kejahatan yang Grenouille pernah lakukan. Sementara dosa kesalahan kita - walau sebesar mana pun malapetaka yang telah kita sebabkan - hanya kita simpan, senyap dan lupakan.

Itulah wabak virus yang paling mematikan.


HARIS HAUZAH ialah lelaki yang tidak pandai berbicara tapi percaya menulis mampu membantu orang lain untuk jadi gembira dan berjaya.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.