Skip to main
Logo Malaysiakini

'Boleh sedih tapi jangan melampau sampai nak bunuh diri'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Kehilangan insan tersayang wajar ditangisi namun tidak perlu berlebih-lebihan sehingga terlintas untuk menamatkan nyawa sendiri, kata penyanyi Nora Ariffin.

Bercakap berdasarkan pengalaman, menurutnya, tiada guna jika terlalu melayan perasaan tanpa membendung emosi berkenaan.

“Bagi saya, tak perlu meleret-leret perasaan tu. Boleh nak bersedih, tapi janganlah melampau-lampau sampai nak bunuh diri.

"Saya juga tak nak fikir masalah lagi, menjadi lumrah semua orang berdepan masalah masing-masing,” katanya ketika mengulas bagaimana dia berjaya mengharungi pemergian arwah suami dan anaknya.

Nora sebelum ini berdepan ujian getir apabila suaminya yang juga seorang komposer terkenal, Johan Nawawi meninggal dunia akibat masalah jantung pada 24 Mac 2017.

Dia sekali lagi berdepan ujian sama apabila anaknya yang kedua daripada empat beradik, iaitu Muhammad Syakir Alif - pula meninggal dunia secara mengejut - menyusuli arwah suaminya pada 14 Disember tahun lalu.

Nora ditemui pada majlis memperkenalkan dirinya sebagai duta produk penjagaan kulit Prettian di Glam Hall, Damansara Perdana, Petaling Jaya semalam.

Dia dipilih menjadi duta produk berasal dari Korea Selatan itu selama setahun.

Nora berkata, bersyukur dengan dugaan Allah juga antara pegangan yang membantu menguatkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan selepas ‘kehilangan’ Johan dan Muhammad Syakir.

Menurut penyanyi lagu Pedoman itu, perasaan syukur yang lahir sepatutnya tidak terhad hanya kepada nikmat gembira yang dikurniakan.

“Sepatutnya kita kena bersyukur dengan setiap apa yang ada, bukan pada benda baik saja. Kita selalu lupa bersyukur pada musibah Allah bagi,” katanya.

Pada masa sama, kata Nora, menanamkan sifat sabar dan reda dalam diri terhadap setiap ketentuan Tuhan berjaya membantunya berdepan detik-detik sukar kehilangan dua insan tersayang tersebut.

“Memang kalau teringat tu ada kalanya akan bersedih. Tapi bila berpegang pada tiga perkara ni, hati berbolak-balik macam mana pun akan kembali tenang,” katanya.

Sementara itu, mengulas punca kematian anaknya, Nora, 45, berkata, ia berkemungkinan disebabkan masalah genetik.

“Lebih kurang begitulah. Faktor lain mungkin disebabkan sudah sampainya ajal dia,” katanya yang mengaku mengambil semangat arwah anaknya itu untuk meneruskan kehidupan.

Muhammad Syakir atau lebih dikenali sebagai Aliff Johan, 20, satu-satunya cahaya mata Nora dan Johan yang mengikuti jejak langkah mereka dalam bidang muzik. 

Arwah pernah mara sebagai 20 calon protege Mentor Milenia 2019.