Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak patut cetus sangkaan buruk pada Malaysia, kata mufti WP

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Ketika seluruh dunia Islam menghormati Malaysia kerana pengurusan haji dan umrah yang cekap, sangat tidak wajar mana-mana pihak menjejaskan imej itu, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad.

Menurut Zulkifli, beliau mengambil maklum mengenai isu Nur Sajat - yang mengerjakan umrah dengan bertelekung baru-baru ini - dan ia boleh memberi kesan kepada hubungan serta kerjasama baik antara Putrajaya dan Riyadh.

“Hormatilah negara dan undang-undang kita. Seluruh dunia Islam menghormati Malaysia kerana pengurusan haji dan umrah yang amat sistematik.

"Imej Malaysia sebagai negara yang disegani dari sudut pengurusan haji dan umrah perlulah terus dipelihara.

“Oleh itu, jangan sesekali menyebabkan tercetusnya sangkaan yang buruk kepada Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Beliau berkata demikian susulan inisiatif Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) mendapatkan pengesahan mengenai butiran jantina Sajat - yang juga penyanyi lagu Makhluk Penggoda itu - selepas bertemu pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semalam.

Menurut Zulkifli, berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui JPN, nama yang tertera pada kad pengenalan Nur Sajat ialah Muhammad Sajjad bin Kamaruz Zaman.

Tetap haram, berdosa

Kata Zulkifli, berdasarkan Arahan Jabatan Pendaftaran Negara Bil 9/2007 perenggan 5.7.1, pindaan jantina dalam kad pengenalan adalah tidak dibenarkan kecuali atas perintah mahkamah.

“Jantina penama didaftarkan sebagai lelaki. Semakan lanjut pada sijil kelahiran beliau juga mendapati penama dilahirkan sebagai lelaki.

"Hingga kini, tidak ada dokumen rasmi perubatan yang dikemukakan oleh Muhammad Sajjad bagi membuktikan bahawa beliau adalah wanita,” katanya.

Terdahulu, isu Nur Sajat menunaikan umrah dengan berpakaian seperti wanita mencetus rasa tidak puas hati dalam kalangan banyak pihak. Antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof yang menyifatkan tindakannya itu sebagai mencemarkan imej Islam

Bernama pula melaporkan, Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan tindakan Sajat memakai pakaian menyerupai wanita itu salah di sisi agama, dan perlu dinasihati umat Islam yang lain.

Mengulas hukum umrah dilakukan seorang transgender, Zulkifli berkata, wajib bagi golongan itu menunaikan ibadah tersebut mengikut jantina asal mereka.

“Walaupun umrahnya sah jika mematuhi rukun umrah, perbuatan mereka tetap haram dan dikira berdosa. Malah, dia boleh dikenakan dam kerana melanggar syarat wajib umrah,” katanya.

Menurut beliau, hal itu juga selaras dengan Resolusi Muzakarah Haji Kebangsaan Kali Ke-28 ekoran perbincangan mengenai individu khunsa.

“Muzakarah menyimpulkan bahawa bagi mukhannas (transgender) semula jadi atau yang disengajakan, telah melakukan pembedahan tukar jantina atau tidak, dan kes menukar jantina dengan melakukan pembedahan bukan disebabkan keharusan syarak, maka hukum individu tersebut termasuk ibadat haji dan umrah hendaklah mengikut hukum asal kejadian dirinya.

“Dalam konteks isu ini, Muhammad Sajjad wajib secara syarak - sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran dan hadis - untuk beribadah dan berpakaian seperti lelaki,” katanya.


Baca 'Cuma S - A - J - A - T, tak ada Muhammad'


Selain itu, Zulkifli juga menasihatkan Nur Sajat memahami maksud sebenar ibadah umrah, berfikir terlebih dahulu sebelum bertindak dan jujur kepada diri sendiri.

“Seseorang itu lebih tahu hakikat dirinya. Justeru, jadilah kita sebagai diri kita yang hakiki, bukan dibuat-buat,” katanya.

Bagi agensi pengelola umrah pula, Zulkifli berkata, pihak terbabit wajib bertangunggjawab sepenuhnya atas isu berbangkit.

“Mereka hendaklah memelihara dan membimbing jemaah supaya mengikut hukum syarak dan undang-undang setempat.

"Sepatutnya mereka sentiasa memberi panduan dan peringatan kepada jemaah seliaan masing-masing agar menepati kehendak ibadat itu sendiri,” katanya.