Skip to main
Logo Malaysiakini

'Tolong kembali ke jalan benar'

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pelakon Niezam Zaidi berharap golongan belia di kampungnya tidak berterusan hanyut dan terjebak dalam gejala sosial sebaliknya mula membabitkan diri dengan kegiatan bermanfaat.

Menurutnya, dia ingin melihat perubahan positif berlaku dalam kalangan mereka ekoran kekerapan aktiviti jenayah yang didakwanya semakin membimbangkan.

"Saya sebenarnya tak mahu hidup belia-belia di kampung jadi semakin teruk. Sekarang makin banyak kes-kes ragut, dadah, samun atau sampai tetak orang dengan parang,” katanya.

Justeru kata pemilik nama penuh Mohd Niezam Mohd Zaidi itu, dia merancang untuk berkongsi pengalaman hidupnya dengan memberikan kempen motivasi di media sosial demi masa depan mereka.

“Nawaitu saya kalau tak sentuh 100 orang, dapat 10 orang pun jadilah… lebih kepada memberi motivasi kepada mereka di luar sana.

"Tujuan nak beri inspirasi. Tak guna ambil benda-benda tu (dadah). Tolong kembali ke jalan benar," katanya.

Niezam, ditemui pada majlis pratonton filem terbaru lakonannya, M4M4, di Mutiara Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Jadi tak tentu arah

Ditanya sama ada dia pernah terbabit gejala tidak sihat itu, Niezam, 27, hanya berkata: "Tak tau nak cakap terjebak ke tak tu macam mana. Kalau tak pernah rasa makanan tu, tak tau rasa dia mcm mana, masin tak buat reaksi masin. Kalau hasil macam tu anda semua sendiri fahamlah apa dia pernah lalui dalam kehidupan peribadi dan boleh sampaikan pada orang lain."

Kata Niezam, orang kampungnnya memang tahu proses peralihan yang berlaku pada dirinya, daripada orang biasa sehingga menjadi pelakon seperti sekarang.

Mengulas sejauh mana dia ingin melihat perubahan dimaksudkan, Niezam menjawab, dia ada membayangkan suasana di kampungnya itu kembali ceria dengan belia yang aktif terbabit aktiviti pelbagai kegiatan sesama sendiri.

"Bayangkan kampung ada litar motor. Dulu ada aktiviti takraw tapi sekarang dah tak ada. Dulu juga ada gelanggang silat bersepah dan budak-budak selalu main waktu petang," katanya.

Sementara itu, mengulas wataknya dalam M4M4, Niezam berkata, kehidupannya berubah menjadi tidak tentu arah disebabkan penghayatan sepenuh jiwa yang diberikannya bagi menjayakan watak perogol Serta penagih dadah.

"Saya tengok dan banyak memerhatikan mereka (penagih dadah) di kampung. Daripada perhati sampailah jadi hasil (watak).

“Selepas habis penggambaran saya sampai tak keluar rumah seminggu. Budak-budak tengok saya pun takut. Jujur saya katakan, saya selamat sebab Islam.

“Kalau tak ada iman, mesti terbawa-bawa... ni sampai tahap keliru tak tau apa benda,” katanya.

M4M4 berkisahkan seorang ibu - watak dijayakan Nabila Huda - cuba menangani emosinya dengan bangkit menuntut bela atas kematian anaknya, Alya (Bella Dowana).

Pelajar sekolah tingkatan tiga itu diperkosa sebelum mati dalam satu insiden berlainan didalangi kumpulan samseng di kawasan kediamannya.

Salah seorang daripada mereka adalah Remy, watak dijayakan Niezam.

Filem genre seram thriller yang mendapat arahan Eyra Rahman itu dijadual menemui penonton di pawagam esok.