Skip to main
Logo Malaysiakini

Caprice: Dengan isu Sajat, adakah kita makin rapat atau kian terpisah?

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tindakan Nur Sajat berpakaian seperti wanita ketika menunaikan umrah baru-baru ini adalah ujian besar bukan saja untuk ahli perniagaan kontroversi terbabit tetapi kepada semua umat Islam di negara ini, kata Caprice.

Menurut penyanyi itu, kesan perbuatan Nur Sajat - atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman - itu sewajarnya dinilai secara keseluruhan.

“Semua ujian ni bukan untuk Nur Sajat saja, tapi lebih nak menunjukkan bagaimana kita sebagai Muslim akan respons. Adakah kita akan rapatkan saf sebagai ummah, atau adakah kita akan terpisah? Ni amat teruk untuk ummah.” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman Nusa Fest di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.

Katanya, sekiranya individu seperti Nur Sajat melakukan kesilapan, mengecamnya juga akan membuatkan lebih ramai golongan seumpama itu menghindarkan diri daripada mendapatkan nasihat pakar agama.

“Benda ni akan membuat golongan macam itu lagi susah nak berjumpa ustaz, sebab dikecam sangat teruk.

"Justeru, apabila perkara sebegini berlaku, kita kena refleks diri balik, apakah kesan jangka panjang untuk itu,” katanya.

Terdahulu selebriti yang sering lantang bersuara di media sosial itu menghasilkan empat rakaman video bagi mengulas isu Nur Sajat yang masih heboh diperkatakan.

Apa kemajuan 30 tahun

Bagaimanapun, dalam salah satu video, Caprice mempersoalkan mengapa pemakaian Nur Sajat hanya dipertikaikan di Tanah Suci tetapi tidak di negara ini.

Isu Nur Sajat mencetuskan rasa marah dan tidak puas hati ramai orang selepas dia bertelekung sewaktu menunaikan umrah di Mekah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa menyifatkan Nur Sajat sebagai mencemarkan imej Islam manakala Mufti Wilayah Persekutuan Dr Zulkifli Mohamad pula mengesahkan penyanyi Makhluk Penggoda itu seorang lelaki.

Caprice juga mempersoalkan apakah langkah-langkah sewajarnya layak diambil oleh pihak berkuasa seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memperbaiki imej Muslim di Malaysia.

“Saya tak lihat ia patut jadi direct. Ni bukan saja untuk komuniti transgender, tapi penagih dadah, atau pemabuk misalnya.

“Saya sering tertanya-tanya apakah kemajuan yang dilakukan Jakim dari sudut kemajuan Islam di Malaysia sepanjang 30 tahun ni,” katanya.

Mengulas lanjut, kata Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, dia pernah bertanyakan soalan sama berkaitan kemajuan Islam kepada Jakim sebelum ini.

Ia diajukan kira-kira dua tahun lalu sewaktu memperkenalkan salah satu aplikasi pendidikan bermotifkan pendidikan di telefon pintar.

Bagaimanapun, dakwanya, pihak Jakim didapati hanya membisu selepas diajukan persoalan tersebut.

“Siapa yang ada (bukti) kemajuan dalam Islam ini, saya minta mereka tunjukkan, tapi semuanya mendiamkan diri,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Nusa Fest, Caprice, 31, berkata tindakan pihak penganjur, Shiraz Projects Sdn Bhd, menangguhkan konsert berkenaan pada Julai depan adalah bijak kerana ketika ini negara sedang diancam isu novel koronovirus (2019-nCoV).

Asalnya Nusa Fest dijadual diadakan pada 7 dan 8 Mac namun ditunda kepada Julai depan dan tarikh sebenar akan diumum kemudian.

Kata Caprice, langkah menangguhkan acara itu adalah untuk keselamatan terutama apabila konsert berkenaan menggabungkan penghibur dari dua negara lain, iaitu Indonesia dan Singapura, selain Malaysia sendiri.

“Saya setuju dengan penganjur kerana kita tak tau apa akan jadi sekiranya konset diteruskan. Kes ini begitu serius dan sudah mengorbankan banyak nyawa.

"Saya tak mahu sekiranya ia terjadi ketika kita sedang berhibur nanti,” katanya yang bakal tampil dengan rakan-rakannya dikenali sebagai Badboi pada konsert berkenaan.