Skip to main
Logo Malaysiakini

Caprice yakin MK K-Clique akan dapat 'hidayah' suatu hari nanti

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Penyanyi rap Caprice berkata, seseorang itu tidak perlu menunggu perubahan menjadi alim sebelum membuka pintu hati untuk melakukan kebaikan.

Kata Caprice, kelaziman seperti itu harus dihindari oleh mana-mana penganut Islam kerana ia tidak membawa sebarang kebaikan pada orang yang melakukannya.

“Kita tak perlu tunggu jadi baik baru nak buat perkara baik. Jangan galakkan perkara macam ni. Budaya tu kena hentikan sebab ia tak membawa sebarang kebaikan,” katanya ketika ditemui pada sidang pengumuman Nusa Fest di Bangsa, Kuala Lumpur semalam.

Pemilik nama sebenar Ariz Ramli itu berkata demikian ketika diminta mengulas klip video di Instagramnya pada 23 Jan lalu yang memaparkan penjelasan MK dari kumpulan K-Clique berkaitan isu memakai perhiasan emas.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan MK - atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan - mengaku kerana minatnya terhadap perhiasan, dia sanggup melanggar hukum walaupun tahu haram untuk seseorang lelaki Muslim memakai emas.

Kenyataan MK itu juga menjadi polemik dalam kalangan netizen selain mengundang perhatian Pencetus Ummah Amin untuk memberi teguran secara sinis.

Tidak berapa lama selepas itu - juga melalui video sama - MK memohon maaf secara terbuka atas kenyataan yang dikeluarkannya.

Sedia campak rantai

"Mengenai isu langgar tu, saya minta maaf. Perkataan itu salah, jadi saya minta maaf. Memang tak boleh langgar hukum agama. Yang jahat jangan ikut, ikut yang baik saja," katanya.

Bagaimanapun, permohonan maaf itu mungkin boleh disifatkan sekadar perbualan kosong antara adik dengan abangnya apabila MK didapati masih memuat naik gambar dia memakai emas di media sosial.

Mengulas perkara tersebut, Caprice, 31, berkata bukan mudah untuk seseorang yang sudah terbiasa melakukan kesilapan untuk berubah secara drastik, terutama jika individu terbabit belum mendapat hidayah.

"Sebagai abang, saya tegur adik supaya minta maaf. Adakah dia buat? Ya, dia minta maaf.

"Tapi untuk dia buka rantai dan tak pakai serta-merta tu, kena tunggu dia dapat hidayah kerana tak semesti apabila keluar permohonan maaf tu bermaksud dia dah sedia untuk campak ke tepi rantainya.

"Hidayah ni memang milik Allah, ia tak boleh dibahas kalau pusing mana-mana pun.

"Kita tak boleh paksa dia buka rantai. Kita tak boleh paksa semua rapper buka rantai," katanya.

Mengambil contoh dirinya sendiri, Caprice berkata, dia mengambil masa hingga 10 tahun untuk tidak lagi memakai sebarang perhiasan.

"Lepas balik umrah kira-kira empat minggu lalu baru saya buang semua rantai dan jam Rolex emas.

"Semua orang buat dosa. Jujur bila cakap, oh my goodness, zaman YouTube dulu, cikaro tak de hal bro, fantasy girl, astagfirullahalazim..." katanya.

Pada masa sama, Caprice berkata, dia yakin pintu hati MK pasti terbuka untuk berubah suatu hari nanti.

"Saya bagi adik saya tu lima tahun untuk berubah," katanya.