Bekas penasihat Finas mahu tanding ketua Bersatu Lenggong
Buat pertama kalinya Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia, Jurey Latiff Rolsi menyatakan hasrat bertanding sebagai ketua Bersatu bahagian Lenggong dalam pemilihan parti itu pada 16 Feb ini.
Menurut Jurey, dia sebenarnya menyertai parti itu lebih setahun lalu sejak pulang menetap di kampung halamannya di Lenggong, Perak.
“Saya rasa perubahan perlu dilakukan apabila melihat struktur ekonomi sedia ada yang sangat teruk. Tak ada siapa sebelum ni (kerajaan terdahulu) yang ingin memajukan Lenggong dari sektor pelancongan.
“Penduduk Lenggong kebanyakannya ibarat kais pagi makan pagi meskipun lokasinya diwartakan sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco),” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Jurey, yang juga bekas penasihat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) bakal berentap satu lawan satu dengan pencabarnya iaitu penyelaras Bersatu Lenggong, Khairul Azuan Mohamed Noor.
Menurut Jurey, 53, atas alasan itu, dia ingin tampil menawarkan khidmatnya untuk mengubah imej Lenggong menjadi bandar tumpuan pelancong sekiranya berpeluang memenangi jawatan berkenaan.
“Saya nak tingkatkan taraf hidup masyarakat setempat yang dibelenggu kemiskinan, dan menambah peluang pekerjaan bagi yang menganggur.
“Saya tak mahu melihat penduduk Lenggong bergantung kepada bantuan kerajaan. Parti terdahulu suka beri duit, apabila tak dapat, rakyat mula salahkan parti pemerintah.
“Tapi kalau ada peluang ekonomi yang pelbagai, kehidupan akan bertambah jadi lebih baik, insya-Allah,” kata Jurey yang juga merupakan soerang pengarah dan penerbit filem.
Mahu Lenggong dikenali di mata dunia
Mengulas lanjut, berpandukan slogan Lenggong Di Mata Dunia, Jurey - yang juga Presiden Persatuan Creative Content Indusstry Guild itu - berkata, dia antaranya mahu mempromosi Lenggong bukan saja di dalam negara tetapi secara global.
“Kemasukan pelancong membantu menjana ekonomi penduduk dengan pertambahan tempat-tempat peranginan, home stay mahupun chalet.
“Pada masa sama orang kampung berpeluang menjadi pemandu pelancong dengan membawa mereka melawat kawasan aktiviti pertanian mahupun menoreh getah misalnya.
“Selain itu, tarikan sumber asli seperti ikan sungai juga boleh menarik pelancong untuk menikmati juadah segar yang sekaligus menjana pendapatan nelayan,” katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai