Skip to main
Logo Malaysiakini

Akhirnya Joker buka jalan buat Phoenix julang Oscar

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Akhirnya pelakon Joaquin Phoenix berjaya merangkul anugerah aktor terbaik Oscar menerusi lakonannya dalam filem Joker di anugerah berprestij itu pada tahun ini.

Di atas pentas, pelakon yang menarik perhatian ramai hasil aksinya sebagai Commodus dalam filem Gladiator menggunakan ruang yang ada untuk mengetengahkan beberapa isu hak asasi manusia dalam ucapannya.

Phoenix menyampaikan mesej berkenaan pentingnya sifat toleransi - yang penurunannya menjadi punca krisis pelbagai pihak - sama ada berhubung persamaan taraf antara jantina, perkauman, agama, malah isu haiwan.

“Kita kini bercakap menentang sifat yang berasa satu agama, kaum dan spesies tertentu mempunyai hak untuk berkuasa, mengawal dan mempergunakan orang yang lemah,” katanya di majlis yang berlangsung di Teater Dolby, Los Angeles, Amerika Syarikat pagi ini (waktu Malaysia).

Phoenix juga berharap bahawa kekuatan sikap bersatu padu antara rakyat dapat diperkuatkan bagi memberi peluang yang sama buat semua individu.

“Saya pernah menjadi penipu, pentingkan diri sendiri, kejam, sukar untuk bekerja dan saya bersyukur ramai yang memberi peluang kedua.

“Saya rasa ini adalah masa kita menjadi yang terbaik, kita membantu satu sama sendiri. Kita tidak menilai seseorang daripada masa lalunya, tetapi apabila kita tolong, mendidik satu sama lain. Itu adalah sifat kemanusiaan,” katanya.

Phoenix memenangi anugerah tersebut melalui watak Joker yang diadaptasi daripada karya komik.

Sebelum ini, Heath Ledger turut mengungguli anugerah Oscar dengan membawa watak Joker dalam filem The Dark Knight pada 2009. Bagaimanapun Ledger memenanginya untuk kategori pelakon pembantu lelaki terbaik.

Sementara itu, Phoenix menyimpulkan ucapannya dengan memetik lirik lagu yang ditulis mendiang abangnya, River Phoenix, yang berbunyi: "Run into the rescue with love and peace will follow".

Phoenix berhasil meraih anugerah tersebut dengan mengalahkan pencabar lain seperti Antonio Banderas untuk filem Pain And Glory, Leonardo DiCaprio (Once Upon A Time In Hollywood), Adam Driver (Marriage Story), dan Jonathan Pryce (The Two Popes).

Sebelum ini Phoenix pernah dicalonkan untuk anugerah Oscar melalui filem The Master, Walk In Line dan Gladiator.