Skip to main
Logo Malaysiakini

Najib 'troll' Drama Band - dulu pakai baju SL1M

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Bekas perdana menteri Najib Razak tampil menyindir Drama Band yang membuat persembahan kontroversi pada Anugerah Juara Lagu (AJL) membabitkan diri beliau dan isterinya Rosmah Mansor.

Najib membuat hantaran di media sosial mengenai bagaimana Drama Band pada waktu dahulu memakai baju program kerajaan BN tetapi kini menyanyikan lagu untuk program Tour De Langkawi.

“Muzik video dari band yang ditaja oleh duit Petronas milik kerajaan untuk Tour De Langkawi tahun 2020 ini di kawasan parlimen PM ketujuh (Dr Mahathir Mohamad boleh tahan sedap melodinya,” perli Najib di akaun Facebooknya.

Pada satu lagi hantaran di Facebook, Najib mencatat kejayaan Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) ketika pentadbirannya dulu tanpa menyentuh secara langsung persembahan Drama Band.

"Pada 1 Jun 2011, kerajaan BN dahulu memperkenalkan satu program yang akan memberi manfaat kepada para graduan yang menganggur.

"Program ini dikenali sebagai Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang diwujudkan bagi meningkatkan keupayaan serta kebolehan diri graduan dengan ilmu, kemahiran serta pengalaman bekerja.

"Pelaksanaan program ini menunjukkan kesan positif apabila seramai 3,879 peserta telah mendapat pekerjaan tetap semasa tempoh program berlangsung," kata Najib.

Pada hantaran sama, MP Pekan juga turut menyertakan bersama sekeping gambar, barisan enam orang ahli kumpulan Drama Band memakai baju program itu.

Hantaran Najib itu dimuat naik di akaun Facebook lima jam lalu dan sudah meraih 33 ribu tanda suka.

Jika dilihat hantaran Twitter vokalis kumpulan tersebut, Aepul Roza, kumpulan itu pernah terlibat mempromosikan program SL1M pada dua tahun lalu.

“SL1M promo just now. Seperti biasa, gaya semula jadi,” ciap Aepul di Twitter pada 3 April 2018 yang lalu.

embedded quote twitter Aepul Roza pada 2018 -

Semalam, sewaktu mempersembahkan lagu Drama, band itu meniru dialog dalam rakaman audio didedahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya dalam kes membabitkan Najib dan isterinya, Rosmah pada 8 Januari lalu.

Kemudian, muncul dua watak badut, seorang individu lelaki berpakaian korporat dan seorang lagi wanita yang berbaju kurung sambil membawa beberapa beg tangan berjalan di karpet merah. Kedua-dua watak itu dipercayai menyerupai Najib dan Rosmah. Mereka diiringi beberapa watak badut lain di pentas.

Sambil berjalan, wanita tersebut bercakap: “Can I advise you something.”

Ungkapan itu sinonim dengan rakaman audio yang didedahkan Latheefa.

SPRM memutarkan rakaman audio perbualan yang didakwa maklumat bocor daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib sewaktu beliau masih perdana menteri dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Bukan setakat isu Najib dan Rosmah, Drama Band juga mempersembahkan adegan lain seperti kontroversi membabitkan seorang peserta Dewi Remaja yang dilucutkan gelaran juaranya selepas berhibur di kelab malam.

Sementara itu, bukan hanya satu, Najib kembali membuat kenyataan- tiga jam lalu di akaun Facebook- memerli kumpulan band tersebut yang menyanyikan lagu buat program Tour De Langkawi.

Difahamkan, beliau secara sinikal memperkatakan bahawa kumpulan tersebut adalah penyokong kerajaan yang ingin membidasnya.

“Muzik video dari band yang ditaja oleh duit Petronas milik kerajaan untuk Tour De Langkawi tahun 2020 ini di kawasan parlimen PM ketujuh boleh tahan sedap melodinya,” katanya.

Setakat ini, jumlah tanda suka buat hantaran tersebut pula sudah mencecah lebih 10 ribu dan mengundang pelbagai reaksi pengguna akaun Facebook.